My Add

Wednesday, 10 April 2013

Bina kilang lokomotif lambang hubungan baik Malaysia-China

 *NAJIB Tun Razak diiringi isteri, Rosmah Mansor bersalaman dengan orang
 ramai ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Membangunkan Kilang
 Kemudahan Membina Kereta Api dan Lokomotif di Kompleks Keretapi Tanah
 Melayu Berhad (KTMB) di Batu Gajah, Perak, semalam. Turut hadir Dr.
Zambry Abd. Kadir dan Kong Cho Ha. - BERNAMA

BATU GAJAH, SELASA, 09 April, 2013: Pembinaan pusat penyelenggaraan kereta api oleh syarikat pengeluar lokomotif terbesar dunia, China South Locomotive & Rolling Stock Corporation Ltd. (CSR Corporation) di sini yang dijangka siap dua tahun lagi bakal menyediakan 800 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kilang tersebut yang dibina di atas tanah seluas 16.5 hektar dengan pelaburan awal sebanyak RM400 juta mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, pelaburan strategik itu akan memberi impak besar dari segi penyediaan peluang pekerjaan serta pemindahan teknologi kepada masyarakat tempatan.

''Sebuah kilang akan dibangunkan untuk membina, membaiki dan mengubah suai kereta api serta semua aspek melibatkan kereta api bagi rantau ASEAN dan Asia Barat di sini dengan pelaburan sebanyak RM400 juta bagi fasa pertama.

''Pelaburan ini akan menyumbang kepada perpindahan teknologi dan pelaksanaan latihan serta peluang pekerjaan kepada penduduk setempat selain peluang perniagaan dan pembinaan modal insan," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut di Kompleks Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah isteri beliau, Datin Sri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Duta China ke Malaysia, Datuk Chai Xi dan Naib Presiden CSR Corporation, Xu Zong Xiang.

Perdana Menteri berkata, antara faktor beliau memilih Batu Gajah sebagai lokasi kilang tersebut adalah disebabkan Akademi KTM Batu Gajah.

''Kawasan ini saya pilih atas dua sebab. Yang pertamanya untuk menjadikan negeri Perak lebih maju dan kedua, memandangkan kesesuaiannya yang berdekatan dengan Akademi KTM Batu Gajah yang mempunyai kemudahan pemasangan serta pengujian lokomotif," katanya.

Sementara itu, Cho Ha berkata, majlis tersebut merupakan kemuncak kepada perancangan dan perbincangan tahun lepas bagi pihak CSR Zhuzhou Electric Locomotive Company (CSR ZELC) menempatkan kilang pembuatan rolling stock yang pertama di luar China.

Kata beliau, pembinaannya bagi memangkinkan industri kereta api di Malaysia dan menjadikan negara ini sebagai pusat pembangunan industri lokomotif terkemuka di rantau ASEAN.

''Walaupun menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, pelaburan CSR ZELC masih giat diteruskan dan bertambah lancar.

''Pelaburan industri keretapi ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada warga Gopeng, Batu Gajah secara khusus dan di Lembah Kinta secara amnya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment