My Add

Tuesday, 2 April 2013

Pekerja kilang sawit bersyukur rumah ibu selamat

 *NURENA Abdul mengemas rumah ibunya yang berselerak selepas
 pencerobohan kumpulan pengganas, di Kampung Tanjung Batu,
Lahad Datu,semalam.

LAHAD DATU, ISNIN, 01 April, 2013: "Syukur kepada Tuhan, rumah ibu saya selamat biarpun semua barang di dalamnya bertaburan," kata Nurena Abdul, 41.

Pekerja di sebuah kilang sawit Fajar Harapan itu berkata, pada mulanya dia menerima berita rumah ibunya, Nulpa Mohd. Nur, 72, musnah terbakar pada 4 Mac lalu apabila orang ramai melihat asap tebal datang dari rumahnya.

Katanya, sebaik sahaja mendengar berita itu, hatinya menjadi luluh dan berasa sangat sebak kerana di rumah itulah dia bersama adik-beradik yang lain membesar.

Menurutnya, dia juga tidak sampai hati untuk menyampaikan berita sedih itu kepada ibunya.

"Namun setelah pulang ke rumah ibu di Tanjung Batu semalam, saya sangat bersyukur kerana rumahnya selamat daripada musnah terbakar dan hanya barangan yang bertaburan di merata tempat," katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Batu di sini hari ini.

Sejak semalam, penduduk di Kampung Tanjung Batu, Kampung Tanjung Labian dan Kampung Sungai Merah sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menurut Nurena, sebaik sahaja tiba di rumah semalam, ibunya menangis teresak-esak melihat keadaan dalam rumah yang berselerak dan dipenuhi sampah sarap.

Namun katanya, ibunya tetap mahu tinggal di rumah tersebut biarpun masih trauma dengan kejadian pencerobohan pengganas Kiram di kampung itu.

Sementara itu, Mahatma Mallang, 74, berkata, dia pulang sekejap ke rumahnya di Kampung Tanjung Batu untuk mengambil barang-barang yang masih terselamat bagi dibawa ke penempatan sementara di Dewan Fajar Harapan.

Menurutnya, selain rumahnya terbakar sedikit di bahagian belakang, banyak barangan keperluan dan peralatan elektrik hilang sejak dia meninggalkan rumahnya itu akibat pencerobohan pengganas Kiram.

"Buat sementara waktu ini, saya sekeluarga masih tinggal di penempatan kerana keadaan rumah yang masih berterabur, tetapi akan pulang setiap hari untuk membersih rumah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment