My Add

Tuesday, 2 April 2013

Polis ada kaedah buru mereka yang menyamar

LAHAD DATU, ISNIN, 01 April, 2013: Polis mempunyai kaedah tertentu untuk memburu saki-baki anggota kumpulan pengganas Kiram sekiranya mereka meloloskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan dengan menyamar sebagai orang awam.

Sambil tidak menafikan kemungkinan itu berlaku, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib menegaskan, pihaknya yakin mereka yang terlibat akan dapat diberkas.

"Kita mempunyai kepakaran dan kaedah tertentu memburu mereka. Ini telah dibuktikan menerusi tangkapan yang telah dibuat sebelum ini terhadap mereka yang disyaki terlibat meskipun menyamar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, pihaknya menganggarkan 10 pengganas Kiram masih bertapak di tiga kawasan penggeledahan pasukan keselamatan iaitu di Kampung Sungai Bilis, Kampung Lok Sembuang dan Kampung Lok Buani.

Jelasnya, kesemua aset pasukan keselamatan telah ditempatkan di lokasi terbabit dan perairan negara selain penambahan anggota di lain-lain penempatan penduduk.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak tiga buah pusat penempatan di daerah tersebut ditutup kerana kebanyakan penduduk telah pulang ke kampung halaman.

Menurutnya, hanya sebuah penempatan masih beroperasi iaitu di dewan Embara Budi, dekat sini bagi menempatkan keluarga yang rumah mereka mengalami kemusnahan teruk. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment