My Add

Friday, 24 May 2013

13 barang kawalan sempena Pesta Kaamatan

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menetapkan harga maksimum bagi 13 jenis barangan terkawal untuk dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Pesta Kaamatan 2013 bermula Sabtu ini.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, skim berkenaan akan berkuat kuasa sehingga 31 Mei ini bagi sambutan Pesta Kaamatan yang jatuh pada 30 hingga 31 Mei ini.

Menurutnya, skim itu akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bertujuan mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dalam negara.

"Antara barang yang dimasukkan dalam senarai kawalan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, kepak ayam serta telur ayam gred A, B dan C.

"Selain itu, daging lembu dan kerbau tempatan, daging kerbau import, babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut, daging dan lemak) turut tersenarai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hasan, penentuan harga maksimum tersebut dibuat berdasarkan pemantauan di semua daerah di Sabah dan Labuan pada Februari dan April lalu serta mengambil kira pandangan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan peniaga yang tidak mematuhi peraturan itu boleh membuat aduan kepada kementerian melalui e-mel: e-aduan@ kpdnkk.gov.my atau hubungi talian bebas tol 1-800-886-800.

Pengguna boleh menghantar khidmat pesanan ringkas ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN atau mengunjungi pejabat kementerian di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment