My Add

Friday, 24 May 2013

AIM bantu 90 peratus ahli keluar dari kemiskinan

KOTA BHARU,  KHAMIS, 23 Mei, 2013: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjaya membantu hampir 90 peratus peminjam keluar daripada belenggu kemiskinan sejajar peranannya menyediakan pembiayaan kredit mikro.

Pengarah Urusan AIM, Datuk Zabidah Ismail berkata, AIM sentiasa mengambil inisiatif memenuhi keperluan dan permintaan ahlinya yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa berusaha membantu membiayai kegiatan yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat dengan purata pendapatan konsisten antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan.

"AIM berbeza dengan institusi kewangan lain kerana kami sentiasa memberi bimbingan serta kursus kepada ahli bagi melahirkan lebih ramai usahawan berjaya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kontrak Pembiayaan Berasaskan Konsep Tawarruq, di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Panel Penasihat Syariah AIM, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Produk Pembiayaan (JTPPP), Nor Fazidah Kadri.

Menurut Zubaidah, AIM mengaplikasikan Kontrak Pembiayaan Berasaskan Konsep Tawarruq bagi pembiayaan konsep yang lebih mudah dan jelas bagi menggantikan Kontrak Qard Hasan yang diguna pakai sejak 25 tahun lalu.

Katanya, tahun ini AIM menyasar pinjaman bernilai RM2 bilion melalui kontrak pembiayaan berasaskan konsep itu iaitu hampir sama dengan jumlah yang disalurkan tahun lalu.

"Kelantan merupakan negeri yang dipilih untuk dilaksana projek Rintis Pengurusan Pembiayaan berasaskan Konsep Tawarruq ini melibatkan cawangan Bachok, Kota Bharu dan Tumpat sebelum diperluaskan di negeri-negeri lain," katanya.

Beliau berkata, konsep pembiayaan tanpa faedah itu diguna bagi membiayai mereka yang terlibat dengan peruncitan, pertanian, perikanan dan sebagainya.

"Setakat ini, AIM telah membiayai kira-kira 49,000 ahli di negeri ini yang mana hampir keseluruhannya melibatkan wanita," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment