My Add

Friday, 24 May 2013

Pengusaha kimpalan kereta tawar kemahiran kepada belia Melayu

 *SAIFUL Azhar Adnan (enam dari kiri) bersama sekumpulan wadar Jabatan Penjara Malaysia yang mengikuti Kursus Kemahiran Pengetukan Panel Dan Semburan Cat di bengkelnya di Klang, Selangor, semalam.
KLANG, KHAMIS, 23 Mei, 2013: Bagi menyahut seruan jihad ekonomi umat Melayu, seorang pengusaha bengkel mengimpal dan mengecat kereta menawarkan kursus kemahiran kepada para belia Melayu sekali gus menceburi bidang itu yang kini lebih banyak dikuasai pengusaha bukan bumiputera.

Saiful Azhar Adnan, 38, sanggup bersedia berkongsi pengalamannya selama 10 tahun dalam bidang itu dengan memberi tunjuk ajar kepada anak muda Melayu dan bakal pesara kerajaan hingga dapat membuka bengkel sendiri.

Menurutnya, ramai anak muda Melayu berbakat dalam bidang itu namun memilih bekerja di kilang pembuatan kereta dan pusat penyelenggaraan kenderaan dengan pendapatan yang sederhana meskipun mempunyai sijil kemahiran dalam bidang berkenaan.

"Sekiranya terdapat lepasan sekolah tingkatan lima atau bakal pesara sektor awam yang mahu terjun ke bidang kimpalan, saya sedia memberi tunjuk ajar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Saiful Azhar yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu dan dua kini giat memberi latihan kepada kakitangan sektor awam antaranya Jabatan Penjara di bengkelnya, Topbody Services di Lot 569, Jalan Selamat, Off Jalan Sungai Udang, di sini.

Menurut Saiful Azhar, dia bukan sahaja akan mencurahkan pengalamannya dalam bidang itu malah sedia membantu mencari modal untuk memulakan perniagaan kepada mereka yang berminat.

"Latihan yang akan saya berikan hanya mengenakan yuran yang berpatutan tetapi hasil pendapatan bakal diperoleh peserta dijangka berlipat kali ganda.

"Impian saya adalah melahirkan seramai mungkin usahawan Melayu dalam bidang mengetuk dan mengecat kereta di negara ini," katanya.

Tambah Saiful Azhar mereka yang berminat boleh menghubunginya menerusi 012-2111403. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment