My Add

Saturday, 1 June 2013

JKM tubuh pasukan khas lindungi kanak-kanak

 Norani Mohd. Hashim
KEPALA BATAS. JUMAAT, 31 Mei, 2013: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menubuhkan pasukan khas bagi meneliti dan mengkaji permasalahan melibatkan isu mengeksploitasi kanak-kanak untuk mengutip derma dan perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Norani Mohd. Hashim berkata, keputusan menubuhkan pasukan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Penyelaras Bagi Perlindungan Kanak-Kanak yang diadakan di sini hari ini.

Katanya, majlis itu dianggotai lima kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia.

Menurutnya, majlis itu juga dianggotai empat jabatan iaitu JKM, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua wakil dari Sabah dan Sarawak serta tujuh pakar dalam bidang kebajikan dan perkembangan kanak-kanak.

Menurut beliau, pasukan khas itu bertujuan memastikan kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak terus terpelihara.

"Kita nampak isu membabitkan kanak- kanak masih tiada jalan penyelesaian dan perlu dilihat secara mendalam bagi kepentingan perlindungan terhadap kanak-kanak," katanya dalam sidang akhbar di Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, di sini hari ini.

Menurut Norani, pihaknya juga meminta Kementerian Pendidikan memberi keutamaan kepada pendidikan reproduktif di sekolah di peringkat awal supaya mereka diberi pendedahan mengenai pendidikan seksual.

Katanya, perkara itu memandangkan isu membabitkan kanak-kanak amat serius seperti kes mengandung luar nikah dan berkesedudukan menyebabkan mereka perlu dilindungi di peringkat awal. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment