My Add

Tuesday 9 July 2013

154 kes denggi di Terengganu tempoh 6 bulan ini

MARANG, ISNIN, 08 Julai, 2013: Kes demam denggi bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini di Terengganu mencatat penurunan sebanyak 63.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2012.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Anwa Sulaiman berkata, hanya 154 kes direkod setakat ini berbanding 418 pada tahun lepas.

"Ia adalah kejayaan besar hasil keprihatinan masyarakat yang memberi kerjasama baik terhadap semua aktiviti yang dianjur jabatan.

"Ia juga membuktikan keberkesanan 110 program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) dalam mencegah dan mengawal kes denggi di seluruh Terengganu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi penguatkuasaan Ops Gempur Aedes Peringkat Negeri Terengganu di sekitar Marang hari ini.

Seramai 113 anggota penguat kuasa kesihatan melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi iaitu Kampung Pantai Pandak, Kampung Chendering dan Kampung Simpang Empat Chendering di Kuala Terengganu serta Kampung Kijing, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Kampung Paya.

Sebanyak 1,301 premis kediaman, kedai dan kawasan lapang diperiksa dan daripada jumlah itu, tujuh didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Dr. Anwa berkata, sehubungan itu, jabatan akan mengeluarkan kompaun bernilai RM500 kepada semua pemilik premis terbabit.

"Kompaun ini adalah mandatori, dan jika pemilik gagal menjelaskannya, tindakan undang-undang akan diambil kerana ia mendatangkan bahaya kepada penduduk di sekitar premis terbabit.

"Sebelum operasi ini diadakan, jabatan telah menghantar notis supaya penduduk di kawasan terlibat membersihkan premis masing-masing, namun masih ada yang berdegil dan tindakan kompaun ini diharap dapat mempertingkat kesedaran mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment