My Add

Monday 29 July 2013

19 remaja Orang Ulu, Penan catat sejarah

 * DENNIS Ngau (tengah, baju putih) bersama ibu bapa serta 19 pelajar Orang Ulu dan Penan yang akan berlepas ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan Sijil dalam bidang Opticianry di Kuala Lumpur.
MIRI, AHAD, 28 Julai, 2013: Seramai 19 remaja Orang Ulu termasuk tiga kaum Penan hari ini mencatat sejarah apabila menjadi pelajar pertama dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sijil dan diploma dalam bidang rawatan mata di Kuala Lumpur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, pemilihan tersebut merupakan sesuatu yang amat membanggakan bagi masyarakat Ulu Baram dan berharap kesemua mereka menggunakan sebaik mungkin peluang tersebut dengan memperoleh keputusan cemerlang.

"Saya nasihatkan pelajar terlibat supaya belajar baik-baik, jangan mudah terpengaruh dengan sesuatu yang tidak memberi faedah dan jangan sekali-kali terkejut dengan budaya baharu di kota raya.

"Ini peluang terbaik untuk mengubah kehidupan masing-masing kerana apabila tamat pengajian nanti mereka akan memperoleh pekerjaan dan memberi sumbangan kepada masyarakat semula," katanya ketika menghantar pelajar-pelajar berkenaan di Lapangan Terbang Miri di sini.

Seramai 11 orang daripada pelajar berkenaan terpilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma manakala lapan lagi akan mengambil kursus yang sama di peringkat pensijilan.

Kursus selama tiga tahun itu ditaja penuh oleh syarikat optikal dan sebaik sahaja menamatkan kursus peringkat diploma mereka layak mendapat pekerjaan di kedai mata seluruh negara.

Mengulas lanjut, Dennis berkata, program tersebut merupakan usaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Telang Usan dalam memastikan remaja di Ulu Baram melanjutkan pelajaran dan mendapat pekerjaan bagi menaik taraf hidup diri serta keluarga.

Katanya, kerajaan negeri juga melahirkan penghargaan kepada Kolej Antarabangsa Perniagaan dan Pengurusan (BMIC) Kuala Lumpur yang telah menawarkan peluang tersebut bagi membantu pelajar-pelajar berkenaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment