My Add

Monday 29 July 2013

'Raya kami sudah tidak bermakna'

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

 * ASALINA Majid melihat baju raya milik keluarganya hangus dalam kebakaran yang memusnahkan dua rumah kedai di Jalan Gertak Kecupu, Binjai, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI
KOTA BHARU, AHAD, 28 Julai, 2013: Ketika umat Islam sibuk mengadakan persiapan sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, dua keluarga di Jalan Gertak Kecupu, Binjai dekat sini diselubungi kesedihan selepas rumah kedai didiami mereka musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, semua peralatan rumah, pakaian dan pelbagai kelengkapan menyambut Aidilfitri di samping wang tunai untuk dibelanjakan tidak dapat diselamatkan.

Pemilik rumah kedai berkenaan, Hamzah Abdullah, 58, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan orang ramai di luar memaklumkan rumahnya terbakar.

Dia yang terkejut dengan jeritan itu nampak asap mula memenuhi tingkat atas rumahnya. Cemas dengan kejadian itu, dia segera keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Isterinya, Asalina Majid, 35, yang sebelum itu berada di tingkat bawah juga segera keluar tanpa menyelamatkan barangan di rumah.

"Ketika itu kami hanya memikirkan untuk menyelamatkan nyawa. Ketika berada di luar rumah, saya nampak api mulai marak dan rumah jiran saya ketika itu juga terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Hamzah yang mengusahakan kedai makan mendakwa kerugian lebih RM100,000 termasuk segala kelengkapan menyambut hari raya yang telah siap sedia.

"Hari raya tahun ini sudah tidak lagi membawa apa-apa makna kepada kami. Rumah tempat kami anak beranak berteduh sejak 2006 kini sudah musnah. Saya pun tidak tahu apa nasib kami sekeluarga selepas ini," katanya.

Seorang lagi mangsa, Hasiah Ibrahim, 52, berkata, ketika kejadian dia dan suaminya, Rusdi Mohamad, 52, tiada di rumah kerana masing-masing bekerja.

Katanya, dia yang bekerja di kilang garam berhampiran rumah itu dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh salah seorang rakan yang menghubunginya.

Tersentak dengan berita itu, dia bergegas pulang dan ketika itu api sedang marak membakar rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba, Mohd. Sabri Ismail memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 9.31 pagi sebelum tiba di tempat kejadian 11 minit kemudian.

Menurut beliau, tiada kemalangan jiwa berlaku dan pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian dan jumlah kerugian," jelasnya. = UTUSAN 

No comments:

Post a Comment