My Add

Tuesday 9 July 2013

1MCAT mampu tarik lebih ramai pelancong

 Nazri Aziz
KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia (1MCAT) yang dilancarkan kali ketiga sejak diperkenal pada 2010 dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, festival berkenaan merupakan produk pelancongan terbaharu negara yang dikenal pasti mampu meningkatkan jumlah pengunjung ke negara ini.

Katanya, penganjuran festival itu yang bermula hari ini sehingga September ini mempunyai potensi besar dalam mempromosi karyawan seni negara serta hasil karya mereka ke pasaran global.

Tambah beliau, usaha itu selaras dengan harapan kerajaan supaya Malaysia diiktiraf sebagai destinasi terkenal dalam kalangan peminat seni yang mahu menikmati dan memperoleh hasil karya seni kontemporari di rantau ini.

"Dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesenian, kita berharap dapat menggalakkan kemasukan pelancong ke negara ini bukan sahaja kerana keenakan makanannya, pemandangan serta pulau-pulau yang menakjubkan atau keseronokan membeli-belah, tetapi disebabkan minat terhadap keunikan karya seni," katanya.

Beliau berucap dalam majlis pelancaran 1MCAT 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas mengenai penganjuran festival berkenaan, Mohamed Nazri memberitahu, sudah tiba masanya hasil karya seni negara diketengahkan sebagai produk pelancongan setelah sekian lama negara popular sebagai destinasi alam semula jadi.

Katanya, selain mengetengahkan karya-karya industri seni kontemporari negara, penganjuran festival itu menjadi platform terbaik dalam menunjukkan sokongan kerajaan terhadap karyawan-karyawan tempatan.

Malah, tambah beliau, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan Singapura telah melalui anjakan dalam sektor pelancongan lebih awal selepas mengiktiraf perkembangan bidang berkenaan.

"Berbekalkan kualiti yang ada pada hasil karya seni Malaysia, kita yakin produk ini akan mendapat sambutan dalam kalangan pelancong," katanya.

Mohamed Nazri menambah, bagi penganjuran festival kali ini juga pihaknya memperkenal inisiatif terbaharu iaitu perkhidmatan van bergerak, 'MCAT Art Shuttle'. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment