My Add

Tuesday 9 July 2013

Seniman tagih duit insurans RM1.1 juta

 Zed Zaidi
KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mempersoal peruntukan sebanyak RM1.1 juta yang masih belum dikeluarkan bagi membeli skim insurans untuk para penggiat seni tempatan meskipun sudah diluluskan Kabinet pada Mac lalu.

Presiden Seniman, Leftenan Kolonel Kehormat, Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi berkata, bajet itu juga diumumkan sendiri Datuk Seri Dr. Rais Yatim sewaktu menjadi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan baru-baru ini.

Menurut beliau, skim Insurans Seniman itu penting bukan sahaja untuk ahli-ahli Seniman tetapi para penggiat seni daripada persatuan-persatuan seni tanah air lain yang berdaftar.

"Ramai ahli Seniman bertanyakan saya tentang perkara itu tetapi saya tidak tahu hendak jawab macam mana.

"Ini kerana kelulusan skim itu telah berlalu empat bulan lalu dan termasuk dalam Bajet 2013 sedangkan pembentangan Bajet 2014 pula akan diadakan pada 25 Oktober ini. Kami bimbang skim itu akan dilupakan begitu sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zed Zaidi, bajet untuk skim insurans itu meliputi kira-kira 100,000 para penggiat seni termasuk ahli-ahli Seniman melibatkan komposer, penyanyi, pemuzik, pelakon, pekerja di belakang tabir, pengukir dan pelukis di seluruh negara.

Selain itu, beliau yang juga merupakan seorang pelakon dan pemuzik turut mempersoal tentang skim bantuan kepada budayawan dan seniman dalam Bajet 2013 berjumlah RM6 juta yang sehingga kini belum diagih sepenuhnya kepada persatuan-persatuan artis tempatan.

"Sehingga kini cuma RM1 juta daripada bajet itu dikeluarkan kementerian terbabit. Saya meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf tampil membuat penjelasan," katanya.

Menurutnya, beliau juga tidak pasti dengan kedudukan dana itu meskipun sudah diluluskan berikutan wujud sebuah lagi kementerian iaitu Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang dipecahkan daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment