My Add

Tuesday 9 July 2013

Jabatan Imigresen raih Anugerah Agensi Sektor Awam Terbaik MIM

 * ALIAS Ahmad memegang trofi Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Global 2013 anjuran Institut Pengurusan Malaysia di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
PUTRAJAYA, ISNIN, 08 Julai, 2013: Kejayaan Jabatan Imigresen merangkul Anugerah Agensi Terbaik Sektor Awam pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Global (GEMA 2013) anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MIM) baru-baru ini, jelas memperlihatkan komitmen agensi itu dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad berkata, sejak menerajui agensi tersebut pada 2010, beliau memperkenalkan konsep kaizen dan inovasi iaitu usaha penambahbaikan secara berterusan dan perlahan tetapi pada masa sama melakukan pendekatan secara mendadak dan cepat.

"Saya juga melakukan transformasi dengan mewujudkan makmal mini untuk mencari satu pendekatan bagi melaksanakan 50 inisiatif berasaskan tiga komponen utama iaitu perniagaan teras, kebajikan dan integriti.

"Matlamat saya ialah memulihkan semula imej jabatan dan melakukan sebanyak mungkin penambahbaikan agar hala tujunya lebih jelas, meningkatkan semangat pegawai dan anggota, komitmen terhadap tugas serta kesepakatan di kalangan warga jabatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anugerah tersebut diterima daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam satu majlis anjuran MIM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) pada 5 Julai lalu.

Elemen-elemen tersebut diterapkan semasa beliau menghadiri majlis perhimpunan atau forum bersama warga Jabatan Imigresen dan usaha itu telah membolehkan mereka bekerjasama sebagai satu pasukan yang mantap.

Alias berkata, semangat yang ditunjukkan oleh 12,200 warga jabatan itu melalui gagasan 1Imigresen, 1Cita-Cita dan 1Kejayaan telah membolehkan jabatan itu merangkul tiga anugerah berprestij pada tahun ini.

Selain Anugerah Agensi Terbaik Sektor Awam, jabatan itu turut menewaskan 375 negara lain selepas menerima Anugerah Perkhidmatan Jabatan Imigresen Terbaik Dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari sebuah badan bebas, Skytrax.

Satu lagi pencapaian yang diperoleh ialah menerima Anugerah Agensi Paling Membantu dari Malaysia Airlines System (MAS).

"Namun, saya optimis dapat mengekalkan kemenangan itu kerana baru-baru ini kita telah menetapkan syarat setiap penumpang siap diperiksa dalam tempoh 10 minit di kaunter," katanya.

Selain itu, kemampuan mengendalikan transaksi 175 juta pengunjung ke negara ini sepanjang tahun lalu menerusi laluan udara, darat dan laut membuktikan sistem yang diguna pakai oleh jabatan itu sangat efisien.

"Sekiranya kami tidak berada di tahap itu, kami akan dilihat tidak memberi kemudahan yang baik terutama kepada warga asing dari aspek industri pelancongan dan juga kepada pelabur-pelabur asing," katanya.

Katanya, Malaysia satu-satunya negara di dunia yang menggunakan sistem biometrik di semua laluan pintu masuk negara bertujuan memastikan kemasukan warga asing adalah teratur tanpa mengabaikan aspek keselamatan negara.

"Saya juga jamin tidak ada negara di dunia yang mengeluarkan pasport selepas satu jam pembayaran dibuat kerana buat masa ini hanya Malaysia yang melakukannya," katanya.

Ditanya mengenai penambahbaikan yang bakal diperkenalkan, Alias berkata, beliau berhasrat memperkenalkan konsep 'pejabat senyap' supaya orang ramai tidak perlu berurusan di kaunter sebaliknya urusan dilakukan secara atas talian. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment