My Add

Tuesday 9 July 2013

SPM 7A syarat baru mohon jadi guru

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Kementerian Pendidikan mengenakan syarat baharu iaitu hanya pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak memohon jurusan perguruan berkuat kuasa tahun ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah mengenakan syarat lebih tinggi itu bertujuan memartabatkan lagi profesion perguruan supaya bidang tersebut diisi mereka yang memiliki pencapaian cemerlang dalam aspek akademik.

Namun, kata beliau, kelonggaran diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak yang hanya disyaratkan memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam SPM memandangkan terdapat jurang pencapaian akademik antara negeri itu dengan Semenanjung.

Menurutnya, jika syarat sama dikenakan terhadap pelajar Sabah dan Sarawak, ramai pelajar sukar memohon profesion perguruan sekali gus bakal menyebabkan kementerian itu berdepan masalah kekurangan guru dari kedua-dua negeri tersebut.

"Langkah Ini adalah sebahagian perancangan kita memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus pelajar cemerlang di seluruh negara menceburi profesion perguruan sekali gus meningkatkan lagi kualiti guru itu sendiri.

"Sebagai profesion yang mulia, kita mahu bidang perguruan ini menarik minat ramai pihak khususnya pelajar-pelajar cemerlang," katanya semasa membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai desakan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) supaya kerajaan memansuhkan sistem meritokrasi dalam bidang pendidikan yang kini merugikan masyarakat bumiputera, Idris berkata, tidak semua meritokrasi diamalkan dalam sistem pendidikan.

Katanya, dalam sesetengah keadaan, kementerian itu turut melihat kepada keperluan tertentu dan langkah mengenakan kelonggaran terhadap syarat kelayakan kepada pelajar Sabah dan Sarawak adalah contoh terbaik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment