My Add

Sunday 7 July 2013

Pantau harga barangan sepanjang kempen PRK Kuala Besut

KUALA TERENGGANU, SABTU, 06 Julai, 2013: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) akan memantau harga barangan dan makanan sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, 24 Julai ini.

Pengarah PDNKK Terengganu, Shamsul Badrein Mohsein berkata pihaknya akan menghantar 30 pegawai penguatkuasanya ke kawasan itu untuk memastikan peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati dan mengambil kesempatan sepanjang PRK itu.

"PDNKK memberi amaran kepada peniaga-peniaga di Kuala Besut supaya tidak sesekali menaikkan harga barangan, terutama harga makanan tanpa sebab yang munasabah.

"Jika pemeriksaan mendapati kenaikan harga barangan berlaku, peniaga akan diberi notis tunjuk sebab dan jika alasan yang diberi tidak wajar, tindakan akan diambil ke atas mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan harga barangan di Pasar Besar Kedai Payang di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan, Dr A Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru, pada 26 Jun lalu.

Selain PRK di Kuala Besut, PDNKK juga akan memantau semua harga barangan di lokasi tumpuan orang ramai di seluruh negeri menjelang Ramadan.

"Kesemua 81 pegawai penguatkuasa serta 75 pegawai pemantau harga telah diarah menjalankan pemantauan di seluruh Terengganu. Skim kawalan harga musim perayaan akan bermula 1 Ogos selama 2 minggu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment