My Add

Sunday 21 July 2013

39 laporan polis dibuat berkaitan insiden letupan

JOHOR BAHRU, SABTU, 20 Julai, 2013: Sebanyak 39 laporan diterima pihak polis setakat ini berhubung kejadian letupan batu di sebuah kuari sehingga meragut nyawa seorang lelaki di Bandar Seri Alam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, sebanyak 32 laporan diterima daripada pemilik kenderaan dan bakinya daripada pemilik kilang yang terjejas dalam insiden tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat terperinci kerana siasatan lanjut sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Geosains dan Mineral Johor dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

"Kita sedang giat menjalankan siasatan berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, berlaku satu kejadian letupan di sebuah kuari di Bandar Seri Alam di sini sehingga mengorbankan satu nyawa dan 10 lain cedera selain kerosakan harta benda akibat terkena bongkah serpihan batu.

Insiden tersebut menyebabkan serpihan batu terpelanting dalam jarak lingkungan satu kilometer.

Dalam pada itu, tinjauan Mingguan Malaysia di tempat kejadian mendapati, kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan di lokasi kejadian sedang giat dijalankan pihak bertanggungjawab antaranya Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan DOSH sejak awal pagi.

Difahamkan, kilang yang terletak di kawasan Malaysia Industrial Ester Limited (MIEL) tidak dapat beroperasi kerana kerja-kerja pemasangan kabel elektrik baharu sedang giat dijalankan oleh TNB.

Sementara itu, pemaju utama di Bandar Seri Alam, Seri Alam Properties Sdn. Bhd. (Seri Alam Properties) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kuari tersebut terletak di luar kawasan perbandaran Bandar Seri Alam.

"Seri Alam Properties juga tidak mempunyai kaitan dengan operator kuari berkenaan," demikian menurut kenyataan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment