My Add

Sunday 21 July 2013

Kuari bakal berdepan tindakan tegas

 
JOHOR BAHRU, SABTU, 20 Julai, 2013: Kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terlibat dalam kejadian letupan di sebuah tapak kuari di Bandar Seri Alam di sini semalam sehingga meragut nyawa seorang lelaki.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled (gambar) berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan terperinci daripada agensi penguatkuasaan terlibat sekali gus meneliti bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku.

"Sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka," katanya dalam satu kenyataan media menerusi laman sosial Facebook miliknya di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, berlaku satu kejadian letupan di sebuah kuari di Bandar Seri Alam di sini sehingga mengorbankan satu nyawa dan 10 lain cedera selain kerosakan harta benda akibat terkena bongkah serpihan batu.

Insiden tersebut menyebabkan serpihan batu terpelanting dalam jarak lingkungan satu kilometer.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyeru kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut sepanjang tempoh siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa serta mereka yang terlibat.

Pada masa sama, beliau juga berharap kejadian seperti itu tidak lagi berulang dan mahu semua pihak bertanggungjawab memastikan negeri ini sentiasa berada dalam keadaan selamat dan makmur.

"Bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Johor, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian letupan kuari itu. Saya berdoa semua mangsa yang cedera cepat sembuh," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau dimaklumkan bahawa seramai lapan mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), tiga masih dirawat dan lima sudah dibenarkan pulang.

"Kita akan pastikan hospital memberikan layanan sebaiknya kepada mangsa tidak kira mereka rakyat tempatan atau pun bukan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa letupan kuari di HSI di sini.

Tambahnya, tiga yang masih dirawat masing-masing merupakan seorang rakyat Myanmar dan dua warga Nepal. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment