My Add

Wednesday 17 July 2013

4 ditahan berhubung kes culik, conteng badan

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, SELASA, 16 Julai, 2013: Polis menahan empat daripada lapan lelaki bagi membantu siasatan kes culik seorang penjaga kaunter kafe siber yang di sebuah restoran di Taman Sri Muda di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, dua daripada suspek ditahan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan dua lagi ditahan di Kampung Medan, Petaling Jaya dan Ampang dekat sini awal pagi ini.

Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia 20-an telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

"Kesemua suspek yang antaranya merupakan penganggur ditahan mengikut Seksyen 3 Akta Culik dan polis kini sedang mencari empat lagi lelaki untuk membantu siasatan kes yang sama,'' kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Zahedi lagi, pihaknya membuat tangkapan ini selepas menerima laporan mengenai penculikan mangsa daripada keluarganya semalam.

Ujar beliau, setakat ini keterangan daripada mangsa dan teman wanitanya yang turut berada di tempat kejadian semasa penculikan dilakukan belum diperolehi dan punca mengapa dia diculik juga belum diketahui.

"Selepas mangsa ditemui semalam, polis telah membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan dia dibenarkan pulang tanpa diambil keterangan kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

"Kita akan cuba mendapatkan keterangannya sama ada pada lewat petang ini atau esok pagi bersama teman wanitanya sekali," tambah beliau sambil menegaskan yang setakat ini punca kejadian penculikan masih dalam siasatan.

Dalam kejadian pukul 3 pagi semalam, penjaga kaunter kafe siber terbabit yang sedang makan bersama teman wanitanya di sebuah restoran di Taman Seri Muda di sini diculik sekumpulan lapan lelaki menaiki sebuah kereta Toyota Alphard.

Mangsa telah dibawa kumpulan lelaki itu ke kawasan hutan sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kilometer 4.5, Lebuh Raya Duke berhampiran susur masuk ke Setiawangsa dekat sini dalam keadaan bogel dengan badannya diconteng beberapa jam kemudian.

Sumber-sumber memberitahu, kumpulan lelaki tersebut hanya menculik mangsa dan meninggalkan teman wanitanya di restoran tersebut bersama semua barang peribadi mangsa seperti telefon bimbit, rantai emas dan dompet.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke kawasan hutan yang tidak diketahui lokasinya untuk dibogelkan dan diconteng badannya sebelum ditinggalkan di tepi jalan. Seluar, baju dan pakaian dalamnya telah dilarikan.

"Mangsa bernasib baik apabila seorang penunggang motosikal juga seorang anggota polis melalui kawasan terbabit menemuinya pada pukul 12.30 tengah hari semalam sebelum membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment