My Add

Monday 8 July 2013

678 kes denggi di Kelantan 

KOTA BHARU, ISNIN. 08 Julai, 2013: Sebanyak 678 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini sehingga semalam berbanding 620 kes pada tempoh sama pada tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, tiada kematian dilaporkan walaupun bilangan kes meningkat pada tahun ini.

Kota Bharu merekodkan kes demam denggi tertinggi iaitu 308 kes, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr. Ahmad Razin berkata, sehingga kini terdapat 10 lokaliti wabak demam denggi terkawal iaitu Flat Jalan Bayam, Pondok Terusan Pasir Tumbuh dan perumahan Bandar Baharu Kubang Kerian di Kota Bharu, Kedai Lama Rantau Panjang, Taman Rantau Mas dan Jalan JKR di Pasir Mas.

Turut dikesan sebagai lokaliti wabak ialah Kampung Haji Wan Omar dan Kampung Kuala Semerak di Pasir Puteh, Kedai Labok di Machang dan Kampung Guchil 7 di Kuala Krai.

Dr. Ahmad Razin berkata, satu operasi penguatkuasaan khas bersepadu di bawah Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 diadakan pada hari ini di dua lokaliti di Kota Bharu iaitu Flat Jalan Bayam dan perumahan Bandar Baharu Kubang Kerian.

Antara tujuan operasi penguatkuasaan bersepadu itu ialah untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani kes demam denggi yang sentiasa meningkat.

Beliau berkata, pemilihan kawasan operasi ini berdasarkan kekerapan berlaku wabak dan risiko tinggi dijangkiti demam denggi di lokaliti berkenaan dan diharapkan operasi seperti ini akan dapat mengurangkan tempat pembiakan nyamuk aedes dan seterusnya mengurangkan berlaku kejadian demam denggi.

Katanya, demam denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus denggi yang disebar oleh nyamuk aedes betina dan cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk daripada orang yang mempunyai virus denggi kepada orang yang sihat.

Tiada vaksin untuk penyakit denggi, namun rawatan utama adalah terapi sokongan iaitu pesakit digalakkan untuk mengekalkan cecair badan terutama meminum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment