My Add

Saturday 20 July 2013

700 penghuni Pangsapuri Jelutong terjejas insiden kebakaran deretan motosikal

KUALA LUMPUR, SABTU, 20 Julai, 2013: Kira-kira 700 penghuni Pangsapuri Jelutong, Selayang Height di Batu Caves terjejas apabila pangsapuri itu mengalami gangguan bekalan elektrik selepas berlakunya insiden kebakaran membabitkan deretan motosikal awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Rahim Abdullah, berkata dalam kejadian awal pagi itu, kira-kira 13 motosikal rosak dan lima lagi hangus dalam kebakaran itu.

"Berdasarkan maklumat dari pihak teknikal pangsapuri itu, kejadian berlaku akibat wayar lampu pangsapuri yang berada pada siling terjatuh di atas deretan motosikal sebelum terbakar," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati tiada unsur khianat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Jelutong Adnan Ahmad berkata akibat insiden kebakaran itu, bekalan elektrik terjejas dan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari untuk memulihkannya.

"Saya hanya menyedari kejadian kebakaran ketika sedang bersahur kira-kira 3.30 pagi selepas mendengar penduduk riuh di kawasan bawah rumah.

"Bila saya turun, saya lihat deretan motosikal telah terbakar bagaimanapun penduduk berjaya memadamkan kebakaran itu menggunakan hos pemadam api," katanya.
Beliau berkata tambah merumitkan lagi apabila lif pangsapuri 12 tingkat itu tidak boleh digunakan dan penduduk terpaksa menggunakan tangga untuk menjalankan rutin harian.

"Keadaan ini menyukarkan penduduk tambah lagi di bulan Ramadan...kejadian ini juga menyebabkan tangki air kumbahan turut terbakar dan pecah kerana tangki berada di atas tempat kebakaran," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment