My Add

Saturday 20 July 2013

Kerajaan tingkat kawalan keselamatan zon perindustrian teknologi tinggi

KUCHING, SABTU, 20 Julai, 2013: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meningkatkan tahap keselamatan di lokasi yang disifatkan aset penting termasuk kawasan perindustrian berteknologi tinggi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata KDN kini meneliti setiap aspek yang perlu bagi menjayakan rancangan itu.

"KDN kini fokus kepada 'asset protection' (perlindungan aset) di beberapa kawasan seperti di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, Sarawak dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia di Pengerang, Johor.

"Berbilion akan dilaburkan di lokasi berkenaan. Kita (KDN) kini melihat kepada kos dan semua perkara membabitkan perlindungan aset seperti pengawasan dan keselamatan di tempat itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek bantuan Ramadan kepada masjid dan surau serta cek bantuan kecemasan bagi kawasan Parlimen Santubong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata sebagai sokongan kepada usaha itu, kerajaan negeri Sarawak menyediakan kawasan untuk pembinaan kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bintulu.

"Kem itu akan menempatkan sekurang-kurangnya satu batalion PGA. Selain itu, KDN juga bercadang membina sebuah balai polis kategori A atau B di Taman Perindustrian Samalaju," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment