My Add

Saturday 20 July 2013

79,000 peserta Felcra kongsi RM105 juta 'duit raya'

Oleh HAKIMI ISMAIL

PUTRAJAYA, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Lebih 79,000 peserta Felcra Berhad (Felcra) di seluruh negara menerima 'duit raya' sebanyak RM105 juta apabila agensi tersebut mengagihkan dividen pertamanya pada tahun ini bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dividen tersebut adalah hasil daripada keuntungan pengeluaran ladang Felcra sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini iaitu berjumlah RM150 juta.

Beliau berkata, peserta Felcra akan menerima dividen masing-masing berdasarkan keluasan tanah milik mereka yang akan dibayar mulai hari ini

"Sehingga Mei tahun ini, sebanyak 1,233 projek (ladang) milik peserta yang melibatkan kawasan seluas 143,282 hektar telah berjaya menjana keuntungan bersih semasa sebanyak RM150 juta, merangkumi pelbagai tanaman seperti kelapa sawit, getah dan juga padi.

"Bayaran interim pertama akan mula dibayar pada hari ini, mengikut perkiraan awal setiap peserta akan menerima RM1,300, namun, ada di antara mereka akan mendapat lebih berdasarkan syarat-syarat tertentu, termasuk keluasan tanah yang diusahakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi mengumumkan pengagihan dividen interim pertama kepada lebih 79,000 peserta Felcra di kementeriannya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexender Nanta Linggi; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad, Pengerusi Felcra Datuk Bung Mokhtar Radin dan Pengerusi Koperasi Felcra Berhad, Arifin Husain.

Menurut Mohd. Shafie, daripada jumlah RM150 juta keuntungan bersih, Felcra akan mengambil 70 peratus daripadanya iaitu RM105 juta untuk diagihkan kepada lebih 79,000 peserta bersempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Selain itu, katanya, dividen kebiasaannya akan dibayar tiga kali setahun iaitu bayaran dalam bentuk interim satu, interim dua dan akhir.

"Kelazimannya tempoh bayaran dibuat berdasarkan kesesuaian musim seperti Hari Raya Aidilfitri (interim satu) dan persekolahan (interim dua) bagi memberikan kegembiraan kepada peserta," katanya.

Selain itu, katanya, keuntungan RM150 juta yang dikumpul bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini merupakan kira-kira 29.5 peratus daripada anggaran keuntungan keseluruhan sebanyak RM507 juta untuk tahun ini.

Dalam pada itu, katanya, projek penyatuan dan pemulihan kelapa sawit sehingga Mei tahun ini menyumbang 752,604 tan metrik berbanding 680,781 tan metrik dalam tempoh yang sama tahun lepas iaitu kenaikan sebanyak 9.54 peratus.

"Bagaimanapun, bagi penghasilan getah sehingga Mei 2013, ia mencatatkan 13.59 juta kilogram berbanding 15.837 juta kilogram pada bulan pertama tahun lepas, menurun sebanyak 16.47 peratus.

"Sementara itu, penghasilan padi sehingga Mei tahun ini ialah sebanyak 20,185 tan metrik berbanding 19,117 tan metrik dalam tempoh sama tahun lepas, peningkatan sebanyak 5.58 peratus," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment