My Add

Saturday 20 July 2013

Ganti Duta Vatican City, NGO gesa Marino letak jawatan

 * DR. HASSAN Ali (dua dari kanan) dan Ibrahim Ali (kanan) bercakap kepada wartawan selepas mengetuai beberapa NGO berarak menghantar memo bantahan kepada Biskop Joseph Marino di Kedutaan Vatican City, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino digesa meletak jawatan secara sukarela agar dapat diganti dengan individu yang lebih bertanggungjawab dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan dalaman negara.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr. Hasan Ali menegaskan, gesaan tersebut adalah salah satu daripada beberapa tuntutan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Katanya, ia sebagai bantahan kepada kenyataan dangkal Marino dalam satu wawancara dengan portal media tempatan baru-baru ini.

Jelas beliau, antara tuntutan lain termasuklah menggesa Marino meminta maaf secara rasmi dan terbuka, membuat aku janji tidak akan mengulangi perbuatan seperti itu lagi dan menasihati Vatican agar memberi tumpuan menyelesaikan isu salah laku seksual pegawai agama seperti dilaporkan secara meluas daripada masuk campur dalam urusan negara lain.

"Sepatutnya sebagai duta Marino yang baharu dilantik sebulan setengah itu sepatutnya mendapat taklimat tentang hal-hal sensitif khususnya hal agama Islam dan kalimah Allah.

"Marino kena keluar daripada negara ini kerana jika lebih lama dia tinggal lebih lama ditakuti akan menjadi dalang kepada satu perbuatan yang tidak diizinkan oleh mana-mana negara termasuk Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan bersama beberapa NGO seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam) kepada Marino di pejabat Kedutaan Vatican City di sini hari ini.

Kemelut ini bermula apabila Marino dalam wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita di negara ini pada Khamis lalu, menyatakan sokongan terhadap pendirian gereja Katholik di Malaysia tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.

Sementara itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pula menyifatkan Marino sebagai persona non grata dan beliau perlu keluar daripada Malaysia kerana telah mencampuri urusan negara.

"Apabila Marino menyokong penggunaan kalimah Allah kepada orang Kristian ini secara tidak langsung, beliau menyokong pembangkang dan ini bukannya cara seorang duta menjalankan tugas.

"Saya rasa dia membuat kenyataan secara sedar, dengan sengaja dan dengan matlamat serta ada agenda tertentu," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment