My Add

Thursday 18 July 2013

90% jenayah berat dilakukan bekas tahanan Ordinan Darurat

KAJANG, RABU, 17 Julai, 2013: Sebanyak 90 peratus kejadian jenayah berat kebelakangan ini terutama kes bunuh dilakukan bekas tahanan penjara Simpang Renggam yang dibebaskan daripada tahanan Ordinan Darurat.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak termasuk Jabatan Peguam Negara memahami permasalahan polis yang disifatkan beliau sebagai 'tidak bergigi' selepas ordinan itu dihapuskan.

Katanya, polis menghormati transformasi undang-undang tetapi Jabatan Peguam Negara juga tidak seharusnya melihat kepada aspek perundangan semata-mata sehingga terlepas pandang kaedah membanteras jenayah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap akta baharu yang bakal menggantikan Ordinan Darurat kelak perlu mempunyai unsur menyamai ordinan itu sekalipun tiada penangkapan pencegahan.

"Lihat aspek bagaimana masyarakat keseluruhan harus dijaga, bagaimana jenayah perlu dibanteras dan bagaimana 'kuman' harus dibuang kerana tidak semua perlakuan jenayah ini ada saksi, tetapi polis dan masyarakat tahu siapa suspek," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama penagih yang sedang menjalani proses pemulihan serta anak-anak yatim di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini malam ini.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM15,000 kepada rumah perlindungan wanita iaitu Teratak Arfidah selain sumbangan kepada para penagih dan anak-anak yatim.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika mengulas perkembangan akta baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat berkata, beliau tidak menyokong sebarang pembentukan undang-undang yang membenarkan penahanan untuk pencegahan (preventive detention).

Mengenai desakan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming supaya beliau meminta maaf kepada Dewan Rakyat berhubung jawapannya mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak perlu.

"Suruh dia baca jawapan saya yang terkandung dalam hansard Dewan Rakyat betul-betul. Kalau dia faham bahasa Melayu, saya tak perlu minta maaf sebaliknya dia yang sepatutnya meminta maaf," katanya.

Menyentuh mengenai AADK pula, beliau berkata, sebuah pusat pemulihan berbayar akan dibangunkan sebagai pelengkap kepada pusat rawatan sedia ada bagi merawat penagih tegar yang masih mempunyai peluang disembuhkan.

"Pusat pemulihan sebegini sudah dibuat pihak swasta tetapi tidak mencukupi. Saya harap masyarakat menyambut baik langkah proaktif ini kerana berkonsep terbuka iaitu kita tidak menahan penagih tetapi mereka sendiri yang datang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment