My Add

Thursday 18 July 2013

Jambatan ke-2 dibuka Oktober

Oleh FADZIL ZAINOL ARIFFIN

 * JAMBATAN Kedua Pulau Pinang bakal memberi manfaat secara langsung kepada penduduk dan perniagaan di kawasan utara Semenanjung.
KUALA LUMPUR, RABU, 17 Julai, 2013: Jambatan Kedua Pulau Pinang dijangka dibuka kepada orang ramai pada Oktober ini, iaitu lewat sebulan daripada jangkaan awal pada September, ekoran kejadian tanjakan runtuh pada awal Jun lalu.

Menurut sumber dalaman syarikat yang mengelola pembinaannya, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), mereka sedang menantikan laporan keselamatan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berhubung struktur jambatan itu, khususnya pakej 3A yang membabitkan bahagian tanjakan yang runtuh tersebut.

Bagaimanapun, sasaran pembukaan pada bulan Oktober itu dikatakan masih awal berbanding daripada jadual kerja sebelum ini yang menetapkan pembukaannya pada November 2013.

"Setakat ini, semua pakej kerja pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang tetap diteruskan, kecuali pakej 3A yang membabitkan bahagian tanjakan," menurut sumber daripada JKSB itu kepada Utusan Malaysia.

JKSB merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan dan ditubuhkan pada 9 Julai 2008 bagi membina, mengurus, mengoperasi dan menyelenggara jambatan itu yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dengan Batu Maung di bahagian pulau, Pulau Pinang.

Pada 6 Jun lalu, kira-kira pada pukul 7.15 petang, Tajudin Zainal Abidin, 45, yang juga bekas anggota polis maut akibat dihempap konkrit seberat kira-kira 300 tan, selain turut mencederakan tiga yang lain.

Menurut senarai tender yang dinyatakan melalui laman sesawang JKSB, Cergas Murni Sdn. Bhd. merupakan pelaksana tender bagi kerja-kerja pembinaan susur keluar jambatan di Batu Maung.

Jambatan Kedua Pulau Pinang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) sebagai sebahagian daripada pembangunan Koridor Ekonomi Wilayah Utara.

Pembinaannya membabitkan perbelanjaan RM4.5 bilion. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment