My Add

Thursday 18 July 2013

Kerajaan tetapkan harga siling ayam

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Julai, 2013: Harga ayam yang tinggi diharap selesai apabila kerajaan menetapkan harga siling bagi bahan itu pertengahan Ramadan ini, untuk dikuatkuasakan selama 15 hari.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, penguatkuasaan di bawah skim kawalan harga musim perayaan itu dibuat bagi mengelakkan kenaikan harga barangan keperluan.

Menurutnya, kerajaan juga telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengeluar barangan serta penternak ayam bagi memastikan harga bahan itu tidak dinaikkan sewenang-wenangnya dan kerajaan sentiasa memantau kenaikan harga barangan keperluan harian bagi memastikan rakyat tidak terbeban.

"Keadaan ini sentiasa berlaku apabila tiba musim perayaan, kerajaan menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk pastikan harga barangan berada pada paras ditetapkan. Kita juga sudah melancarkan Ops Harga selain melakukan pemeriksaan terhadap 51,588 perniagaan seluruh negara.

"Harga siling bagi sambutan Tahun Baru Cina biasanya akan berkuat kuasa selama 12 hari, sambutan Aidilfitri pula 15 hari dan 10 hari bagi Deepavali dan Krismas. Kerajaan memandang serius kenaikan harga barangan keperluan harian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, kementerian telah melantik 1,314 pemantau harian di seluruh negara dan bersedia mengambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana peniaga yang didapati mengambil kesempatan sempena musim perayaan ini.

"Selain itu, bagi mengekang kenaikan harga barangan, kerajaan juga sudah memperkenalkan beberapa program untuk memastikan rakyat tidak dibebani dengan kenaikan harga barangan antaranya mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M)," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment