My Add

Thursday 4 July 2013

Ahli Parlimen enggan dengar penjelasan ditegur

 Mary Yap
KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Dewan Rakyat hari ini menyaksikan bagaimana Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching yang merupakan seorang bekas pengetua bangun menegur ahli-Ahli Parlimen pembangkang kerana tidak mahu mendengar penjelasannya berhubung beberapa isu berkaitan pendidikan.

Jika sebelum ini beliau dilihat cukup tenang di dalam beberapa sesi soal jawab, ternyata wataknya sebagai seorang pengetua yang tegas terserlah ekoran tindakan para Ahli Parlimen khususnya pembangkang cuba mempertikaikan jawapan-jawapan diberi.

Ketika menjawab soalan tambahan Tian Chua (PKR-Batu), Mary Yap dilihat benar-benar berang apabila Ahli Parlimen Batu itu bertanyakan sekali lagi mengenai pengambilan guru mengikut pecahan kaum sedangkan soalan yang sama telah ditanya oleh Mohd. Rafizi Ramli (PKR-Pandan).

''Sekiranya Yang Berhormat ada mendengar dengan baik, saya sudah jawab bahawa jawapan saya akan disampaikan melalui tulisan, jadi tunggu," tegasnya dalam sesi soal jawab.

Mohd. Rafizi dalam soalan tambahan sebelum itu meminta kementerian menyatakan jumlah pengambilan guru mengikut komposisi kaum serta langkah untuk meningkatkan penyertaan guru pelbagai kaum di sekolah-sekolah di negara ini.

Ketegasan Mary Yap sekali lagi dilihat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) berhubung pencapaian Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau yang merasa terganggu dengan tindakan beberapa ahli Parlimen khususnya pembangkang yang sering mencelah seolah-olah tidak berminat mendengar penjelasannya, bertindak berhenti menjawab sebelum terus duduk.

''Ini jawapan saya dengarlah, sekiranya Yang Berhormat tidak berminat untuk mendengar (penjelasan), saya tak perlulah jawab," katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian mencelah: ''Yang Berhormat, timbalan menteri yang menjawab ini bekas pengetua sekolah yang mempunyai pengalaman luas, jadi sekiranya belum pernah menjadi guru, janganlah terlampau memanjangkan perkara ini."

Menjawab soalan asal Idris Ahmad (Pas-Bukit Gantang) berhubung PPSMI, kata Mary Yap, anggaran kos projek itu sejak dilaksanakan pada tahun 2003 adalah RM6 bilion.

Kos itu katanya, meliputi penyediaan peralatan, latihan guru dan juga bayaran insentif subjek pendidikan (BISP).

Menjawab soalan tambahan Idris mengenai bayaran BISP, Mary Yap berkata, guru yang masih mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris masih layak menerima bayaran insentif tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment