My Add

Thursday 4 July 2013

Program Rakan Muda masih aktif - Khairy

Anuar Abd. Manap
KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa program Rakan Muda masih lagi aktif dan terus mendapat penyertaan daripada ramai belia di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sebagai bukti, seramai 10,543 belia menyertai aktiviti Gaya Hidup Rakan Muda manakala aktiviti Jiran Muda pula menerima penyertaan lebih 1,000 belia pada tahun lalu.

''Program Rakan Muda masih merupakan antara agenda penting bagi memenuhi aktiviti gaya hidup belia di seluruh negara," katanya ketika menjawab soalan tambahan Anuar Abd. Manap (BN-Sekijang) mengenai status program Rakan Muda pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy turut memaklumkan bahawa program Rakan Muda akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan semua belia termasuk daripada kaum minoriti Sabah dan Sarawak dapat bersama-sama menyertainya.

Terdahulu menjawab soalan asal Rubiah Wang (BN-Kota Samarahan) Khairy memberitahu, program belia anjuran Kementerian Belia dan Sukan sentiasa mendapat sambutan baik daripada golongan muda.

''Kementerian akan berusaha melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan program-program ini mendapat penglibatan menyeluruh daripada belia di peringkat akar umbi.

''Untuk makluman Yang Berhormat sebanyak 65 program telah dilaksanakan sepanjang 2011 hingga Jun 2013. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 42,946 orang belia telah menyertai pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan.

''Sememangnya program yang dianjurkan mendapat sambutan belia termasuk belia di luar bandar," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment