My Add

Thursday 11 July 2013

AirAsia dilayan seperti 'anak emas'

 Ab. Aziz Kaprawi
KUALA LUMPUR, RABU, 10 Julai, 2013: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi mengakui syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia seperti anak emas kerana menerima pelbagai layanan istimewa Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB)

Pengakuan itu dibuat beliau ketika menjawab persoalan dibangkitkan Nurul Izzah Anwar (PKR- Lembah Pantai) yang mempersoalkan mengapa kos pembinaan KLIA2 meningkat daripada harga asal RM2 bilion kepada RM4 bilion.

Menurut Ab. Aziz, MAHB terpaksa melayan semua permintaan AirAsia dalam pembinaan KLIA2 memandangkan syarikat penerbangan itu merupakan operator terbesar sehingga berlaku peningkatan kos tetapi masih munasabah.

Katanya, antara perubahan yang terpaksa dilakukan demi memenuhi tuntutan tersebut adalah memanjang dan melebarkan landasan ketiga bagi menampung pendaratan pesawat Airbus A-380 yang kini dalam perancangan pembelian.

Tambah beliau lagi, AirAsia juga menuntut perubahan pada bangunan terminal, sistem pengurusan bagasi dari semi automatik kepada automatik serta penambahan pintu pelepasan dan ketibaan daripada 50 kepada 68 buah.

Selain itu jelas beliau, AirAsia juga menuntut pembinaan ibu pejabat syarikat itu dengan kedudukan istimewa, iaitu menghadap tempat meletak pesawat serta pembinaan Tune Hotel dan semua kehendak tersebut dituruti MAHB.

"Banyak telah kita tampung permintaan AirAsia menyebabkan skop kerja terpaksa dipinda yang saya kira macam anak emas dilayan MAHB," katanya semasa menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun jelas Ab. Aziz, selain memenuhi tuntutan syarikat penerbangan tambang murah itu, ada perubahan terpaksa dibuat berikutan keperluan drastik dalam sistem penerbangan.

Tersentak dengan penjelasan tersebut, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangkit mempersoalkan mengapa AirAsia terlalu istimewa sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa melayan segala tuntutan syarikat itu.

"Saya sungguh tidak percaya kerajaan asyik layan AirAsia. Siapa AirAsia ini? Siapa pemegang saham dan pihak berkepentingan di belakangnya? Ini kita minta dedahkan. Kenapa kerajaan asal AirAsia kita bagi biarpun kita rugi," soalnya.

Dalam pada itu, Ab. Aziz berkata, walaupun berlaku peningkatan tetapi kos pembinaan KLIA2 untuk menampung 45 juta penumpang setahun masih lagi antara yang termurah di dunia.

Jelasnya kos pembinaan KLIA2 hanya RM89 untuk setiap penumpang berbanding kos pembinaan lapangan terbang serupa di Jerman yang mencecah RM478 untuk seorang penumpang dan memakan masa enam tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment