My Add

Tuesday 9 July 2013

Akta Hasutan 1948 perlu dipertahan

 Shahidan Kassim, Irmohizam Ibrahim

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Akta Hasutan 1948 perlu dipertahankan supaya tidak timbul permasalahan kelak jika berlaku situasi yang boleh mengancam ketenteraman awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mengambil kira kepentingan umum itu, maka akta tersebut wajar dikekalkan supaya tidak menerima nasib sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah pun dihapuskan.

Menurutnya, banyak kejadian jenayah tidak mampu dikawal selain tidak dapat mengambil tindakan ke atas mereka yang menimbulkan masalah berhubung keselamatan akibat pemansuhan Akta ISA itu.

“Saya bersetuju dan menyokong penuh kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri) akta itu tidak perlu dimansuhkan.

“Jika kita tengok selepas kerajaan hapuskan Akta ISA, banyak masalah kita hadapi sekarang, jadi kita mesti ada undang-undang bagi menjamin keselamatan orang ramai," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Zahid menyatakan bahawa empat perkara yang termaktub dalam perlembagaan termasuk yang membabitkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi akan terbuka kepada pertikaian sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

Kata beliau, dua lagi perkara itu adalah berkenaan kedudukan Raja-raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, akta tersebut perlu dipertahankan atau setidak-tidaknya diwujudkan sebuah akta seumpamanya supaya dapat memelihara kestabilan dan keamanan negara.

Katanya, mana-mana pihak termasuk ahli politik tidak perlu takut kepada akta tersebut kerana ia hanya untuk mencegah sebarang bentuk kenyataan yang boleh memecah-belahkan hubungan antara rakyat negara ini.

“Akta ini masih relevan supaya dapat membendung anasir-anasir yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat," katanya.

Berkongsi pendapat sama, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, semua pihak perlu menerima hakikat dan keperluan sebenar kepada akta berkenaan bagi menyekat berlaku keadaan lebih buruk.

“Ini bukan soal politik tetapi berkaitan keselamatan. Semua pihak kena faham.

“Kalau tidak ada satu undang-undang yang sesuai untuk menangani perkara sebegini ia akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment