My Add

Tuesday 9 July 2013

ATM tolak dakwaan Ramasamy

Oleh AZHARI ZAINOODDIN

PULAU PINANG, ISNIN, 08 Julai, 2013: Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Shukuri Ahmad menolak dakwaan Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy yang menuduh wujud layanan tidak adil kepada orang India dan Cina dalam pasukan keselamatan termasuk tentera.

Tegas beliau, jika diteliti hierarki dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), wujud anggota dan pegawai bukan bumiputera menjawat jawatan tinggi dalam pasukan.

Oleh itu kata beliau, perkara berkenaan tidak sepatutnya dijadikan isu memandangkan semua anggota dan pegawai diberi peluang dan layanan sama rata tanpa mengira bangsa.

"Perkara itu tidak betul. Ada anggota yang bukan bumiputera kini sudah berpangkat 'tiga bintang'.

"Jadi, ini bukan satu isu. Tolong berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perintah ulung Panglima 2 Divisyen di Kem Tun Razak, di sini hari ini.

Jumaat lalu, ketika sesi penggulungan membahas ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, Ramasamy membangkitkan usul yang mendakwa wujudnya layanan tidak seimbang kepada orang India dan Cina yang dikatakan tidak berpeluang untuk menjawat jawatan tinggi dalam pasukan keselamatan termasuk tentera.

Terdahulu dalam perintah sulungnya, Mohd. Shukuri menyeru semua anggota 2 Divisyen agar menghayati dan berpegang kepada lima teras yang telah digariskan iaitu kesiagaan tempur, kesatuan dan kepimpinan, nilai profesionalisme, kualiti hidup dan hubungan tentera bersama orang awam.

"Saya mahu seluruh warga divisyen bersatu dan bersama-sama mengekalkan kecemerlangan agar kita mampu menjadi sebuah ketumbukan yang berwibawa dan sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua ancaman terhadap negara tidak kira dari dalam atau luar negara.

"Dua divisyen merupakan sebuah ketumbukan yang besar, jadi tanggungjawab kita juga besar dan sebab itu penting untuk kita sentiasa bersedia dalam memastikan kedaulatan dan keamanan negara khususnya di bahagian Utara terpelihara," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment