My Add

Tuesday 9 July 2013

Harga kereta: Mustapa minta Rafizi kemuka bukti

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Kenyataan melulu tanpa fakta Rafizi Ramli (PKR-Pandan) dalam isu penurunan harga kereta oleh Proton dan Perodua bukan sahaja menjerat diri bahkan memalukan beliau sendiri.

Semuanya bermula selepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta Rafizi mengemukakan bukti mengenai tuduhan penurunan harga kereta Proton dan Perodua menyebabkan gaji kakitangan syarikat itu diturunkan.

Rafizi yang pada mulanya cuba mencari helah akhirnya melondehkan diri sendiri dengan mendakwa, perkara itu sekadar tuduhan politik.

Malah, dalam tindakan yang dilihat cuba menutup malu, Rafizi berkata, adalah lebih baik beliau menjadi Menteri jika perlu mencari bukti untuk dibawa kepada pihak berkuasa.

Ekoran jawapan itu, Mustapa menyifatkan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan sebagai Ahli Parlimen tidak bertanggungjawab kerana mengemukakan tuduhan tidak berasas dengan tujuan mahu memutar-belit isu penurunan harga kereta.

Terdahulu, Rafizi menuduh langkah kerajaan menurunkan harga kereta secara berperingkat akan menjejaskan kebajikan kakitangan syarikat pengeluar kereta khususnya Proton dan Perodua selain mengabaikan kualiti model kereta sehingga menjejas pengguna.

"Kalau Pandan ada fakta, ada model yang harganya naik apabila harga Proton Saga diturunkan, harga model Proton lain pula naik, beritahu saya. Kami tidak menerima laporan selepas Proton, Perodua, Nissan, Mazda menurunkan harga, gaji kakitangan mereka diturunkan.

"Saya pun ingin tahu juga syarikat mana yang menurunkan kualiti kereta mereka, kes ini boleh dirujuk kepada tribunal pengguna atau persatuan pengguna," katanya ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa menegaskan, kerajaan tidak bercadang mengurangkan duti eksais ke atas kenderaan kerana ketika ini belum menemui pendekatan alternatif memastikan fiskal negara terus mantap.

Walau bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak bermakna kerajaan akan terus menutup pertimbangan melaksana langkah tersebut jika wujud transformasi cukai yang mampu merasionalisasikan struktur cukai.

"Langkah ini selaras janji kerajaan Barisan Nasional (BN) menurunkan harga kenderaan secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus bagi tempoh lima tahun," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment