My Add

Saturday 6 July 2013

Anggota PALAPES boleh main peranan lebih besar

 * SULTAN Muhammad V berkenan menyampaikan hadiah Pegawai Kadet Terbaik Pasukan Pegawai Simpanan (PALAPES) pada Majlis Pentauliahan PALAPES Ke-32 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq
KOTA KINABALU, SABTU, 05 Julai, 2013: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah anggota Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) boleh memainkan peranan lebih besar bagi menghadapi sebarang ancaman di dalam dan luar negara.

Titah baginda anggota PALAPES boleh bertindak sebagai angkatan barisan kedua mempertahan kedaulatan negara daripada ancaman yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan tanah air tercinta.

"Seperti mana yang kita lihat pada masa kini, pelbagai konflik berlaku di negara luar seperti perang saudara dan pemberontakan dan di dalam negara peristiwa pendaratan pengganas Sulu di Lahad Datu yang menggugat keselamatan negara.

"Beta penuh yakin dengan kekuatan, tahap profesionalisme dan semangat yang ada serta di dokong dengan pasukan simpanan yang akan bertindak sebagai angkatan barisan kedua yang mantap, ATM dapat mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman yang bakal menggugat keharmonian dan keselamatan tanah air tercinta," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di padang kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

Baginda mengingatkan sebagai bakal pegawai muda, mereka seharusnya bersemangat patriotik demi mewujudkan kecintaan pada negara selain meningkatkan jati diri serta ilmu yang mendalam merangkumi semua perkara.

"Dengan tema pentauliahan "Peneraju Bangsa Negara Berdaulat" akan sesuailah saudara-saudari menjadi contoh teladan serta model melalui personaliti diri saudara-saudari kepada yang lain," titah baginda.

Dalam pada itu, Baginda bertitah pasukan keselamatan perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman yang akan mengganggu keselamatan dan kesejahteraan negara.

Pada istiadat itu, 1,340 pegawai kadet PALAPES membabitkan 17 institut pengajian tinggi awam (IPTA) dari seluruh negara termasuk Akademi Laut Malaysia (ALAM) ditauliahkan untuk angkatan tetap dan simpanan dalam ATM.

Daripada jumlah itu, 28 orang dianugerahkan Pegawai Kadet Terbaik Universiti.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Mary Yap Kain Ching, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment