My Add

Saturday 6 July 2013

Anugerah Kualiti SIRIM diperkenal

SHAH ALAM, JUMAAT, 05 Julai, 2013: SIRIM Berhad (SIRIM) akan memperkenalkan Anugerah Kualiti SIRIM (AKS) sebagai pengiktirafan kepada syarikat-syarikat pengeluar barangan dan perkhidmatan yang berjaya mencapai tahap pengurusan kualiti dan produk yang cemerlang.

Presiden merangkap Ketua Eksekutif SIRIM, Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof berkata, anugerah tersebut dilihat turut memberi nilai tambah terhadap pengiktirafan yang telah diterima oleh syarikat-syarikat pengeluar dan perkhidmatan tersebut dari sudut persijilan.

Menurutnya, AKS adalah simbol pencapaian syarikat pengeluar sama ada tempatan mahu pun multinasional dalam persaingan dalam menghasilkan produk dan pengurusan lebih berkualiti.

“Pengiktirafan ini juga diharap dapat mencetuskan gelombang dalam kalangan pemain industri untuk mementingkan budaya kualiti dalam kalangan organisasi dan industri bagi meningkatkan prestasi kualiti produk dan perkhidmatan secara keseluruhan," katanya kepada pemberita di bangunan SIRIM di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Naib Presiden Perkhidmatan Teknikal merangkap Pengerusi Sidang Kemuncak Kualiti Kebangsaan (National Quality Summit) 2013 (NQS 2013), Azim Ng Abdullah dan Naib Presiden (Korporat), Haliza Ibrahim.

Tambah Dr. Zainal, AKS tersebut akan dibahagikan kepada beberapa kategori bagi memastikan setiap syarikat pengeluar akan menerima pengiktirafan yang sewajarnya iaitu Anugerah Kualiti Produk (AKP) dan Anugerah Kualiti bagi Organisasi (AKO).

“Daripada dua kategori itu, AKP dipecahkan kepada empat bahagian iaitu pertama, syarikat tempatan dengan nilai jualan tahunan melebihi RM100 juta dan kedua, syarikat tempatan dengan nilai jualan tahunan RM25 juta sehingga RM100 juta.

“Ketiga, syarikat tempatan dengan nilai jualan kurang daripada RM25 juta manakala keempat ialah melibatkan syarikat asing yang diperbadankan di negara ini," jelasnya.

Kategori AKO pula dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu syarikat dengan nilai jualan tahunan melebihi RM100 juta; syarikat dengan nilai jualan tahunan antara RM25 juta sehingga RM100 juta dan syarikat dengan nilai jualan tahunan kurang daripada RM25 juta.

Sementara itu, Azim memberitahu, SIRIM akan mengadakan NQS 2013 yang bertemakan Kualiti Untuk Pengguna Global yang dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 September di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur.

“Sidang tersebut akan memberi penekanan terhadap kepentingan kualiti kepada pengguna global dan bagaimana ia dapat mempertingkatkan daya saing organisasi di pasaran global," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment