My Add

Saturday 6 July 2013

NGO sokong hapus bayaran muka

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Persatuan-persatuan pengguna menyokong cadangan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim agar kerajaan menghapuskan bayaran muka pembelian rumah khususnya untuk golongan muda mudah memiliki aset.

Menurut mereka, langkah itu merupakan penyelesaian terbaik dalam membantu golongan muda memiliki rumah sendiri terutama yang tinggal di ibu kota.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, cadangan itu wajar kerana harga rumah kini terlalu mahal dan bayaran wang muka sebanyak 10 peratus turut menyukarkan mereka membeli rumah berkenaan.

“Lebih membimbangkan masih ada yang belum mampu memiliki rumah sendiri walaupun sudah bekerja selama 10 tahun,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Irmohizam ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong mencadangkan supaya bayaran muka pembelian rumah dilupuskan bagi mengurangkan beban orang ramai khususnya golongan muda untuk memiliki sebuah rumah sendiri memandangkan harganya yang semakin mahal.

Cadangan itu dibuat ekoran kebimbangan beliau mengenai nasib generasi muda termasuk golongan berijazah untuk memiliki sebuah rumah sendiri.

Tambahnya, adalah baik jika Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dapat mencari jalan supaya pihak bank dapat bekerjasama dalam menjayakan hasrat tersebut.

Berkenaan harga rumah yang semakin mahal, Saharuddin meminta kerajaan mengkaji semula harga skim rumah pertamaku yang nyata terlalu tinggi bagi rumah sederhana seperti itu.

“Saya cadangkan mereka menyemak kembali harga rumah tersebut kerana tujuan utama skim itu bagi membantu golongan muda memiliki rumah pada harga berpatutan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, langkah mewujudkan mekanisme tersebut sangat dialu-alukan oleh pihaknya.

“Sejak sekian lama saya telah mencadangkan kepada kerajaan untuk melupuskan bayaran pendahuluan pembelian rumah dan akhirnya diketengahkan di Parlimen dan kita berharap pelan itu dapat dilaksanakan,’’katanya.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George bimbang dengan pelbagai kelonggaran diberikan kepada golongan muda dalam membeli rumah.

Jelas beliau, jika terlalu banyak memberi kelonggaran dari segi penstrukturan semula pinjaman rumah, menyebabkan lebih ramai golongan muda akan membeli sesuatu seperti rumah dan kereta tanpa berfikir panjang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment