My Add

Sunday 28 July 2013

Astaka Padu bina kediaman 70 tingkat di JB

JOHOR BAHRU, AHAD, 28 Julai, 2013: The Astaka @ 1 Bukit Senyum, yang akan menjadi menara kediaman tertinggi di negara ini, dijangka siap empat tahun lagi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Padu Sdn. Bhd., Datuk Zamani Kassim.

Zamani berkata, The Astaka @ 1 Bukit Senyum, merangkumi dua menara kondominium 70 tingkat dan 65 tingkat dengan ketinggian 1,000 kaki dari aras laut.

"1 Bukit Senyum adalah projek mega pertama melibatkan empat fasa merangkumi The Astaka, hotel, menara pejabat, pejabat kecil dari rumah (SOHO) oleh syarikat bumiputera 100 peratus di Johor yang merupakan sebahagian daripada langkah penswastaan dan pelan pembangunan semula bandar raya Johor Baharu oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian kontrak pembinaan The Astaka antara Astaka Padu Sdn Bhd dan Penta Ocean Construction Co Ltd, kontraktor pembinaan dari Jepun, yang disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini, semalam.

Zamani berkata, The Astaka akan dibangunkan di atas satu plot tanah pegangan bebas yang meliputi kawasan seluas 0.969 hektar melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion.

Beliau berkata, ia akan menempatkan 438 suite ultra-mewah dengan lif peribadi serta dilengkapi sistem keselamatan empat lapis.

Harga bagi unit-unit tersebut bermula di antara RM2 juta dan RM8.45 juta dengan pengesahan pembelian melebihi 60 peratus, yang mana 80 peratus daripadanya terdiri daripada rakyat Singapura, setakat ini. Setiap unit menawarkan pemandangan laut dan antara kemudahan yang ditawarkan termasuk kolam renang infiniti, gim, bilik spa peribadi dan kolam renang kanak-kanak.

Terletak dalam Zon Flagship A Iskandar Malaysia yang sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk perkhidmatan kewangan, komersial dan runcit, The Astaka dijaringkan dengan hubungan yang mudah ke Kompleks Kastam, Imigresen & Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dengan hanya mengambil masa dua minit manakala ke pusat bandar raya, kira-kira lima minit, katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment