My Add

Friday 5 July 2013

Pelaburan Malaysia jadi simbol baru kemakmuran

 * NAJIB bersama David Cameron melihat pelan pada majlis Pecah Tanah Pembangunan Battersea Power Station di London, semalam. - BERNAMA
LONDON, KHAMIS, 04 Julai, 2913: Malaysia hari ini mencatatkan satu lembaran baru dalam sejarah hubungannya dengan United Kingdom apabila berkongsi kemakmuran bagi membangunkan semula Stesen Janakuasa Battersea di selatan London dalam satu projek pembangunan yang bernilai sehingga 8 bilion pound sterling (RM40 bilion).

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, David Cameron melakukan upacara pecah tanah projek ikonik itu dalam satu majlis di pinggir Sungai Thames yang menjadi simbol hubungan baru Malaysia dan United Kingdom.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Najib memberitahu 500 tetamu Malaysia dan British yang menyaksikan upacara itu bahawa projek pembangunan semula tapak stesen kuasa arang batu seluas 39 ekar itu memberikan harapan untuk masa depan Malaysia dengan United Kingdom dan dunia.

Katanya, projek itu memperlihatkan bahawa daripada wujud sebagai pesaing, ekonomi Timur dan Barat seharusnya menjadi rakan kongsi.

"Daripada menjadi pesaing, saya percaya Timur dan Barat berada pada kedudukan paling kuat apabila kita menjadi rakan kongsi untuk kemakmuran: Apabila kita bersedia membuka ekonomi dan masyarakat serta mengalu-alukan apa yang terbaik dunia dapat tawarkan," katanya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman, Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tun Musa Hitam, Pengerusi Sime Darby, Datuk Abdul Ghani Othman, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong.

Di pihak United Kingdom, selain Perdana Menteri Cameron, Datuk Bandar London, Boris Johnson turut hadir.

Projek pembangunan semula Stesen Janakuasa Battersea yang terbiar sejak 1983 itu akan dimulakan secara rasmi pada Oktober depan, tiga bulan selepas upacara pecah tanah pada hari ini.

Projek itu akan dimajukan dalam lapan fasa, dengan fasa pertama pembinaan apartmen mewah siap pada 2016 sebelum keseluruhan projek siap sepenuhnya pada 2024. Dua buah stesen kereta api bawah tanah laluan Northern akan dibina di sekitar kawasan itu yang akan menggiatkan lagi pembangunannya. Laluan tersebut siap pada 2019.

Sebuah konsortium dari Malaysia yang terdiri daripada SP Setia, Sime Darby dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memenangi bidaan yang dikeluarkan oleh Majlis Tempatan Wandworth di sini yang memperlihatkan penglibatan agresif syarikat-syarikat Malaysia dalam pasaran hartanah di London.

Sime Darby dan SP Setia masing-masing memiliki kepentingan sebanyak 40 peratus dalam entiti korporat BPSDC yang akan melaksanakan projek itu manakala bakinya dimiliki KWSP.

Menurut Najib, apabila projek di Battersea itu siap, ia bukan setakat satu penghormatan kepada kekuatan seni bina British tetapi juga daya tarikan London sebagai sebuah kota bertaraf dunia.

"Kepada saya, ia memperlihatkan bagaimana hubungan antara negara kita berubah," kata Najib yang mendapat pendidikan universiti di United Kingdom.

"Ketika saya dilahirkan, negara saya adalah sebahagian daripada empayar British. Apabila saya berusia empat tahun, kami mendapat kemerdekaan - bukan melalui hujung senjata, tetapi menerusi meja rundingan.

"Bersama dengan beribu-ribu warga Malaysia, saya menyaksikan bendera Union Jack diturunkan dan sebuah negara baru muncul.

"Hari ini, Malaysia ialah cahaya yang bersinar dalam ekonomi global," katanya sambil menambah dalam tempoh empat dekad lalu Malaysia menikmati pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 6.9 peratus setahun.

"Dalam tempoh kurang daripada satu generasi, kami telah berkembang daripada perlombongan bijih timah dan perladangan getah kepada mengeluarkan panel solar dan semikonduktor," katanya.

Enam puluh tahun lalu, kata Najib, hanya segelintir yang meramalkan wang dari Malaysia yang akan menghidupkan semula Battersea.

"Dalam satu generasi kami telah berkembang daripada sebuah tanah jajahan menjadi pelabur utama," kata beliau.

Sambil merakamkan ucapan tahniah kepada konsortium Malaysia dalam usaha mereka memulihkan semula Battersea, Najib memberi semangat kepada mereka untuk mengulangi kejayaan itu bukan sahaja di London, tetapi di seluruh dunia.

"Sebagai antara ribuan peminat London, saya amat gembira mengetahui negara saya turut membantu memulihara bangunan-bangunan yang menarik dan tersendiri," katanya.

Stesen Janakuasa Battersea dibina pada tahun 1933.

Battersea, kata Najib, ialah satu monumen kepada sejarah lampau Britain yang ketika dibina merupakan tempat kelahiran industri dan cahaya kepada kemodenan.

Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Cameron atas sambutan mesra beliau serta komitmennya kepada Malaysia sambil menyatakan Perdana Menteri United Kingdom itu telah berusaha keras untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Sebelum upacara pecah tanah berlangsung, Najib dan Cameron telah mengadakan rundingan dua hala sempena lawatan kerja empat hari Najib ke United Kingdom. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment