My Add

Tuesday 9 July 2013

Hina raja: Wujudkan peruntukan khusus dalam Akta Hasutan

KUANTAN, ISNIN, 08 Julai, 2013: Kerajaan negeri mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya mewujudkan satu peruntukan undang-undang khusus bagi membolehkan mereka yang menghina raja-raja Melayu menggunakan media maya dikenakan tindakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, peruntukan khusus bagi melarang perbuatan menghina raja-raja Melayu itu perlu dimasukkan di dalam Akta Hasutan 1948 yang merupakan benteng utama dalam mengekang perbuatan menghalalkan fitnah, tohmahan serta pelbagai bentuk hasutan.

“Kerajaan negeri sememangnya memandang serius perbuatan menghina raja-raja Melayu melalui media maya ini.

“Sebab itu kita di pihak kerajaan negeri akan menulis surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya perbuatan menghina raja-raja Melayu ini mesti diadakan satu undang-undang khusus," katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) yang ingin tahu apakah usaha kerajaan negeri bagi menghalang perbuatan menghina raja-raja Melayu menggunakan media maya yang kini semakin berleluasa.

Adnan berkata, pihak SKMM juga perlu lebih tegas terhadap mereka yang disifatkan tidak menghormati institusi raja di negara ini.

“Perbuatan menyalahgunakan kebebasan untuk menulis dalam media maya itu tidak boleh dikompromi dan tindakan perlu dikenakan kerana melampaui batas. SKMM perlu bersungguh-sungguh dalam perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, katanya, semua media maya perlu berdaftar dengan pihak berkenaan atau SKMM untuk memudahkan pemantauan.

Menurutnya, jika terdapat unsur fitnah dan hasutan, siasatan boleh dijalankan di bawah undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment