My Add

Tuesday, 9 July 2013

Balu pengasas Utusan Melayu dihadiahkan buku

 * ZAINUDDIN Maidin (tiga dari kiri) menyampaikan buku Di Depan Api, Di Belakang Duri kepada Noor Aishah Md. Salim sambil diperhatikan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan (dua dari kiri) dalam pertemuan di Singapura, kelmarin.
SINGAPURA, ISNIN, 08 Julai, 2013: Buku bertajuk Di Depan Api, Di Belakang Duri menjadi buah tangan paling bermakna kepada penulisnya yang merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin kepada waris pengasas akhbar Utusan Melayu, Yusof Ishak dalam pertemuan mereka di Singapura semalam.

Zainuddin menyampaikan buku tulisannya itu kepada balu Yusof yang juga bekas Presiden Singapura pertama, Noor Aishah Md. Salim dalam majlis yang diadakan bagi merai ketibaan Konvoi Kembara Queen Street (KQS).

Bagi Zainuddin, peluang menyampaikan buku karyanya yang menceritakan pengalaman pada zaman awal penubuhan Utusan Melayu di Singapura kepada bekas Wanita Pertama Singapura itu merupakan detik amat bermakna buatnya.

Malah, beliau mengakui terharu kerana Noor Aishah sanggup datang ke majlis itu yang diadakan di Taman Warisan Melayu, Istana Kampung Gelam meskipun beliau tidak sihat dan diketahui jarang muncul dalam majlis-majlis di negara tersebut.

Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan Noor Aishah membuktikan beliau amat menyanjung jasa suaminya serta menghargai golongan yang mengenang jasa pengasas pertama Utusan Melayu yang beroperasi di Queen Street pada tahun 1930-an.

"Saya kira ini merupakan hari yang cukup bermakna dan besar ertinya dalam hidup saya kerana sempat berkhidmat sebagai wartawan semasa era Allahyarham Yusof menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu.

"Apa yang saya dapat belajar, beliau merupakan seorang yang garang, tegas dan kuat bekerja kerana bagi Allahyarham dengan cara itu sahaja dapat memajukan Utusan Melayu bagi membolehkan para pekerja bertugas bersungguh-sungguh," katanya.

Sementara itu, Noor Aishah melahirkan rasa terharu dan bangga kerana walaupun suaminya sudah lebih 40 tahun meninggal dunia, namun masih ada insan mengenang jasanya.

"Saya merakamkan jutaan terima kasih, apa yang hendak saya katakan di sini usaha yang dilakukan oleh insan-insan (warga Utusan Melayu) mulia ini amat saya sanjung, ditambah dengan sejarah perjuangan Allahyarham terhadap Utusan Melayu diabadikan oleh Zam (Zainuddin) menerusi buku tersebut yang memberi erti cukup besar bagi saya," katanya.

Malah, beliau turut berkongsi rasa kecintaan mendalam Allahyarham Yusof terhadap Utusan Malaysia yang dibuktikan selepas suaminya tetap mengikuti perkembangan akhbar itu meskipun menjadi Presiden Singapura.

Buku Di Depan Api, Di Belakang Duri setebal 512 muka surat tulisan Zainuddin kini berada di pasaran dan dijual berharga RM62.

Konvoi KQS yang merupakan projek sulung Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM) melibatkan sebanyak 28 buah motosikal berkuasa tinggi serta empat buah kenderaan bersama bantuan lapan pengiring daripada Polis Diraja Malaysia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment