My Add

Saturday 6 July 2013

Lihat situasi sebenar sebelum bawa balik pelajar

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussein meninjau menara kawalan trafik Jabatan Penerbangan Awam semasa mengadakan lawatan ke KLIA2 di Sepang, semalam. - Utusan/Hanafi Khamis
SEPANG, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Kerajaan akan memantau dan mendapat gambaran sebenar tentang keadaan di Mesir sebelum membuat keputusan untuk membawa pulang pelajar dan rakyat dari negara bergolak tersebut

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini telah membincangkan perkara tersebut yang mana semua agensi terbabit diminta meneliti keperluan logistik dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada di Mesir.

"Saya telah meminta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad menghubungi dan mendapat maklum balas daripada Kementerian Luar, Pendidikan, Pengangkutan serta Komunikasi dan Multimedia berhubung peranan masing-masing dalam situasi sekarang.

"Majlis Keselamatan Negara, Majlis Amanah Rakyat dan pihak berkepentingan lain turut akan dihubungi bagi berbincang perkara yang sama," katanya selepas mengadakan kunjungan ke tapak binaan terminal KLIA2 di sini hari ini.

Keadaan politik di Mesir bergolak apabila tentera negara itu menggulingkan Presiden Mohammed Mursi dan menahan beliau selepas seminggu tunjuk perasaan besar-besaran menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang memangku jawatan Menteri Pengangkutan berkata, pihaknya akan mengkaji cadangan untuk memperkenalkan sistem nombor plat pintar atau e-Plat bagi mencegah jenayah curi kereta.

"Beberapa aspek akan dikaji merangkumi keupayaan e-Plat untuk cegah jenayah, kemampuan (dari segi kos) dan kehendak pengguna," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mahu e-Plat dilaksanakan dengan segera untuk mengatasi jenayah curi kereta.

E-Plat yang menggunakan teknologi mikrocip atau Radio Frequency Identification (RFID) itu boleh mengesan kenderaan yang mencurigakan melalui teknologi tanpa wayar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment