My Add

Thursday 25 July 2013

Bebaskan kanak-kanak Palestin di Israel

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Julai, 2013: Malaysia mendesak pembebasan kira-kira 200 kanak-kanak Palestin di pusat tahanan Israel memandangkan penahanan itu boleh mengakibatkan kerosakan psikologi jangka panjang terhadap golongan muda berkenaan.

“Kanak-kanak ini dinafikan permintaan mereka untuk ditemani ibu bapa masing-masing, akses kepada peguam dan ikat jamin dan dalam sesetengah kes malah ditahan berseorangan diri.

“Suasana dan keadaan dahsyat yang perlu dilalui kanak-kanak ini tidak lain daripada mengakibatkan kerosakan psikologi jangka panjang terhadap golongan muda ini. Atas sebab inilah kami mendesak pembebasan semua kanak-kanak Palestin di pusat tahanan Israel," kata Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada Perbahasan Terbuka mengenai Situasi di Asia Barat, termasuk Soal Palestin, di Majlis Keselamatan PBB di New York.

Sambil menegaskan bahawa penahanan kanak-kanak itu amat mencemaskan, beliau berkata, Malaysia juga bimbang dengan penahanan secara salah lebih 5,000 banduan Palestin.

Hussein berkata, komponen ekonomi dalam sekatan ke atas Gaza termasuk sekatan hampir menyeluruh terhadap eksport menghasilkan keputusan yang menakutkan.

“Delegasi saya mengulangi semula kutukan kami terhadap sekatan tidak sah ini yang kini memasuki tahun ketujuh dan menggesa supaya ditamatkan dasar hukuman kolektif yang sinis dan disengajakan oleh Israel ke atas penduduk Palestin," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment