My Add

Thursday 25 July 2013

Kaji semula undang-undang sedia ada berkaitan penyalahgunaan dadah

KUALA LUMPUR, RABU, 24 Julai, 2013: Kerajaan diseru mengkaji semula undang-undang sedia ada berkaitan penyalahgunaan dadah di negara ini bagi memerangi kegiatan tersebut.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan itu amat perlu ekoran kegiatan tersebut menjadi punca utama berlakunya jenayah dan masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, berdasarkan statistik pihak polis baru-baru ini, sebanyak 85,500 orang termasuk rakyat asing ditangkap atas pelbagai kesalahan yang berkaitan dengan dadah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Pihak kami amat prihatin dan mengambil berat tentang masalah ini. Malah, statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis memberi mesej bahawa hukuman mati atas kesalahan salah guna dadah masih tidak menghalang orang ramai daripada terlibat dalam kegiatan ini.

"Jadi, kita hanya berjaya mengatasi masalah ini apabila kita mengambil tindakan efektif dan berkesan, lebih-lebih lagi apabila kerajaan komited menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas daripada dadah menjelang 2015," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan Ibu Pejabat Penjara, Jamaluddin Saad berkata, kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah di negara ini berada pada tahap tinggi dengan kira-kira 40 peratus daripada 40,211 banduan ditahan atas kesalahan tersebut.

Katanya, kesemua mereka terlibat secara langsung iaitu kerana menagih, mengedar dan memiliki bahan tersebut.

Menurutnya, baki 60 peratus lagi merupakan banduan yang terlibat jenayah secara tidak langsung dengan dadah seperti membunuh dan merompak akibat dipengaruhi dadah.

Jelas Lam Thye, kerajaan perlu bekerjasama mendapatkan pandangan pakar-pakar dan kumpulan berkepentingan dalam usaha menangani kegiatan itu.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah pembawa dadah atau 'keldai dadah' yang melibatkan rakyat tempatan yang terlibat dalam perdagangan dadah di dalam dan luar negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment