My Add

Tuesday 23 July 2013

Bicara Anwar saman Chandra Muzaffar, tangguh 25 November

KUALA LUMPUR, ISNIN, 22 Julai, 2013: Perbicaraan kes saman fitnah RM10 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tokoh akademik, Dr. Chandra Muzaffar yang sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ditangguhkan sehingga 25 November depan.

Anwar, 65, memfailkan saman itu pada 6 Mac 2008 atas dakwaan Chandra telah membuat komen berunsur fitnah terhadapnya dalam satu forum yang dianjurkan Star Publication Bhd., di Menara Star, Petaling Jaya pada 3 Mac 2008.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memberitahu pemberita, beliau memohon kes itu ditangguhkan setelah peguam utama, N. Surendran yang mewakili Ketua Pembangkang itu mengendalikan kes petisyen pilihan raya Balik Pulau, Pulau Pinang.

Menurut Latheefa, Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad sehubungan itu menetapkan kes itu didengar selama tiga hari sehingga 27 November ini.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, kata-kata Chandra telah disiarkan dalam akhbar The Star di bawah tajuk Disaster if Anwar is PM dan Chandra breaks silence on Anwar dalam The New Straits Times pada 5 Mac 2008.

Chandra yang dinamakan sebagai pihak defendan dalam pembelaannya menafikan mengeluarkan komen jahat, palsu atau memfitnah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dan berkata kenyataan itu disiarkan dengan perlindungan bersyarat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment