My Add

Sunday 14 July 2013

Bina rumah cara Iris Koto diperluas

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

BESUT, SABTU, 13 Julai, 2013: Penggunaan sistem pembinaan industri Iris Koto akan diperluaskan dalam projek pembinaan rumah murah di seluruh negara jika terbukti dapat mengurangkan kos keseluruhan kira-kira RM40,000 bagi seunit.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, sistem yang dihasilkan melalui kepakaran teknologi Jepun itu akan digunakan sebagai permulaan untuk membina rumah mangsa kebakaran di negeri ini.

Katanya, kos untuk membina seunit rumah murah ialah RM150,000 yang bergantung pada lokasi dan sekiranya menggunakan Sistem Iris Koto, jumlah keseluruhan dapat dikurangkan kepada RM100,000 dan RM120,000.

"Sistem Iris Koto ini akan diperkenalkan kerana rangka binaan ringan dan proses pelaksanaan dapat dilakukan dengan lebih cepat kerana menggunakan polisterina yang dicampur dengan simen.

"Sistem ini pertama kali dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini dan kalau sesuai, akan digunakan untuk program rumah murah di seluruh negara dan penjimatan dapat digunakan untuk membina lebih banyak unit rumah murah,'' katanya kepada pemberita semasa melawat mangsa kebakaran di Perumahan PPRT, Taman Tasik, Kampung Nail, Kuala Besut di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Pembinaan rumah milik mangsa kebakaran, Ramli Jusoh turut menggunakan Sistem Iris Koto dan dijangka siap pada 23 Julai ini.

Abdul Rahman menjelaskan, walaupun kos membina rumah murah dengan sistem ini hanya mencecah antara RM60,000 dan RM70,000, selepas mengambil kira prasarana, kosnya boleh mencecah RM100,000 dan RM110,000.

Dalam pada itu katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) menjanjikan pembinaan sebanyak 1 juta unit rumah di seluruh negara menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan beliau yakin sasaran 200,000 unit rumah setahun dapat dicapai. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment