My Add

Wednesday 10 July 2013

Boleh mohon subsidi yuran asuhan taska
KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 203: Keluarga berpendapatan isi rumah per kapita RM500 dan ke bawah boleh memohon subsidi yuran pengasuhan kanak-kanak taska sebanyak RM250 bagi anak berusia enam tahun dan ke bawah, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim.

Menurut beliau, permohonan yang dibuka sejak April tahun ini memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk membiayai kos pengasuhan anak-anak mereka di taska.

Selain itu, keluarga berpendapatan RM2,000 dan ke bawah sebulan, turut diberi subsidi yang sama sebanyak RM180 sebulan bagi setiap anak untuk mengurangkan beban yang ditanggung.

"Kita beri subsidi ini bagi membantu rakyat yang dibebani dengan isu kos pembiayaan pembantu rumah yang semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program bersama 45 orang anak yatim dari Persatuan Penyayang Nur Iman Setapak, Sanjuran Globe Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mendapatkan subsidi yang sama pada tahun berikutnya, pemohon perlu memperbaharui permohonan mereka.

"Mereka yang ingin memohon subsidi itu boleh melayari laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di www.jkm.gov.my dengan memuat turun borang YP1," ujarnya.

Sementara itu, Rohani berkata, kerajaan sedang berusaha membantu membina 1,000 lagi taska di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jelasnya, kementerian akan memberi sebanyak RM10,000 kepada pengusaha taska yang lulus permohonan di bawah badan kebajikan itu.

"Perkara ini merupakan inisiatif kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara dan Program Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0)," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment