My Add

Thursday 25 July 2013

Buat deklarasi sebelum gabung 3 parti Cina

SHAH ALAM, RABU, 24 Julai, 2013: MCA, Gerakan dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) diminta mewujudkan satu jawatankuasa atau deklarasi bersama di antara ketiga-tiga parti itu terlebih dahulu sebelum melaksanakan penggabungan dan membentuk satu parti baharu berasaskan kaum Cina.

Presiden Jaringan Cina Malaysia (JCM) Ng Lum Yong berkata, jawatankuasa atau deklarasi itu dilihat perlu sebagai komitmen ketiga-tiga parti terbabit untuk bekerjasama di bawah satu parti termasuk memenangi semula sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN).

Katanya, walaupun MCA, Gerakan dan SUPP difahamkan akan mengadakan perbincangan rasmi ke arah penggabungan serta membentuk parti baharu, usaha itu tidak akan dapat dicapai dalam tempoh yang singkat.

"Jika penggabungan ini dibincang oleh MCA, Gerakan dan SUPP, kata putus perbincangan itu tidak akan dapat dibuat dengan segera. Penggabungan dan pembentukan parti baharu berasaskan kaum Cina sudah tentunya memerlukan satu struktur kepimpinan dan hala tuju yang baharu.

"Begitu juga dalam soal menguruskan persepsi majoriti ahli parti masing-masing terhadap penggabungan tersebut dan bagaimana untuk meyakinkan mereka mengenai pembentukan parti baharu itu sekiranya langkah itu diteruskan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn pada 20 Julai lalu bahawa parti itu bersama-sama MCA dan SUPP akan mengadakan perbincangan rasmi tentang pembentukan satu parti baharu berasaskan kaum Cina.

Perbincangan yang julung-julung kali diadakan itu menjurus kepada kepentingan mewujudkan satu entiti parti kaum Cina menggabungkan kesemua parti Cina dalam BN.

Kenyataan Ko Youn itu disambut positif oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang percaya penggabungan Gerakan, MCA dan SUPP menjadi satu parti baharu akan mampu menarik semula sokongan kaum Cina terhadap BN.

Dr. Mahathir turut menyatakan penggabungan tersebut memudahkan gerak kerja untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada parti yang didominasi kaum Cina dalam BN berbanding dibuat secara berasingan.

Lum Yong berkata, sekiranya penggabungan ketiga-tiga parti itu dilaksanakan, maka parti baharu yang akan dibentuk nanti seharusnya terbuka kepada semua kaum walaupun asasnya terdiri daripada majoriti kaum Cina.

"BN sendiri adalah parti yang mana komponennya terdiri daripada pelbagai kaum. Maka parti baharu hasil gabungan MCA, Gerakan dan SUPP tidak harus berasaskan kepada satu kaum sahaja sebaliknya mesti menjadi sebuah parti berbilang kaum.

"Jika dilihat pembangkang, keanggotaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terdiri dari pelbagai kaum, begitu juga DAP walaupun asasnya Cina dan Pas juga membuka keahlian mereka kepada bukan Melayu," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment