My Add

Wednesday 3 July 2013

Bung Moktar tempelak CEO AirAsia X cerca Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 2 Julai - Seorang Ahli Parlimen menempelak Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman Rani kerana reaksinya mencerca Utusan Malaysia sebagai akhbar rasis melalui akaun Facebook dan Twitternya baru-baru ini.

Berikutan reaksi tersebut, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) turut menyifatkan Azran sebagai Melayu biadab, lebih-lebih lagi dengan kenyataannya menarik semua iklan AirAsia daripada disiarkan di Utusan Malaysia.

''Apabila Utusan Malaysia bersuara itu bermakna suara orang Melayu. Saya terpanggil apabila ada seorang anak Melayu CEO AirAsia X terlalu biadab. Saya cabar dia. Melayu seperti ini tidak layak berada dalam negara. Dia boleh tinggal di mana-mana negara yang dia suka.

''Apabila dia mengugut untuk tarik balik semua iklan di Utusan Malaysia, ini adalah satu ancaman. Tidakkah dia sedar kehadirannya (dalam bidang korporat) adalah hasil daripada kestabilan yang dikecapi oleh negara ini," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Azran menerusi akaun Facebook serta Twitter miliknya menyatakan pendirian meluatnya terhadap Utusan Malaysia yang dilabel sebagai tidak mewakili Melayu Malaysia.

Ahli korporat Melayu baharu itu secara terbuka menerusi kedua-dua akaun laman sosial tersebut menyalahkan Utusan Malaysia sebagai rasis kerana menyiarkan artikel di muka hadapan bertajuk Apa Lagi Cina Mahu pada 7 Mei lalu.

Menerusi akaun Facebook beliau, Azran menulis: "I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan editorial stance. (Saya rakyat Malaysia. Saya antiperkauman. Saya meluat dengan pendirian Pengarang Utusan).

Dalam akaun Twitter pula, Azran turut menyatakan pihaknya akan menarik balik iklan AirAsia di Utusan Malaysia.

Bung Moktar turut mempertahankan tindakan Utusan Malaysia menyiarkan beberapa kejadian yang berlaku selepas tamat Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) termasuk gambar sekumpulan remaja Cina menterbalikkan bendera Malaysia.

''Saya sedih apabila melihat bendera Malaysia diterbalikkan oleh remaja Cina. Cetusan baharu DAP ini hampir-hampir melenyapkan impian BN sebab berjaya heret pengundi DAP. Jadi yang berjaya masa PRU-13 adalah DAP bukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

''Sebab itu timbul pelbagai persepsi. Maka timbul melalui Utusan Malaysia sehingga tercetus headline di Utusan Malaysia 'Apa lagi Cina mahu'," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Bung Moktar kecewa dengan kegagalan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengawal keadaan media sosial sehingga suruhanjaya itu diumpamakan sebagai 'harimau tidak bertaring'.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan satu undang-undang lebih tegas supaya masalah berkaitan media sosial khususnya berkaitan dengan penyalahgunaannya dapat diatasi.

''Saya juga bersetuju dengan cadangan mewujudkan satu mahkamah khas bagi membicarakan kes-kes melibatkan isu media sosial," katanya ketika merujuk cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu).

Selain itu, beliau juga membangkitkan isu akaun Twitternya yang digodam hingga menyebabkan biodata dirinya digunakan orang lain.

''Saya telah membuat laporan mengenai akaun Twitter saya yang telah digodam dan saya mahu SKMM memberi jawapan berhubung gejala ini dalam tempoh seminggu," katanya lagi.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130703/po_03/Bung-Moktar-tempelak-CEO-AirAsia-X-cerca-Utusan-Malaysia-akhbar-rasis#ixzz2XwYFW9Su
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment