My Add

Wednesday 3 July 2013

Perkasa Dasar Agromakanan


 * RAJA Swaziland, Raja Mswati III dan Permaisuri Inkhosikati (belakang, tengah) diiringi Ismail Sabri Yaakob sejurus tiba di Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur bagi memulakan lawatan kerja empat hari ke Malaysia di Sepang, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Pertubuhan-pertubuhan peladang digesa memberi tumpuan ke arah usaha memperkasakan Dasar Agromakanan Negara dalam setiap aktiviti ekonomi yang dijalankan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi tanpa bergantung kepada hasil pertanian import.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kini terdapat 276 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara dengan penyertaan lebih 800,000 peladang, namun kebanyakannya tidak terlibat dalam perniagaan berkaitan dengan sektor agromakanan.

"Walaupun PPK ini boleh terlibat dalam aktiviti perniagaan lain seperti kelapa sawit, sewaan bangunan dan stesen minyak, namun keutamaan harus diberi bagi meningkatkan sektor agromakanan negara.

"Mereka sepatutnya menjadi penyumbang dalam menjayakan Dasar Agromakanan Negara kerana pada waktu ini aspek jaminan makanan negara masih belum mencukupi dan masih bergantung dari negara luar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama pemimpin peladang di Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah; Pengerusi LPP, Datuk Zainal Dahalan; Ketua Pengarah LPP, Datuk Arpan Shah Satu dan Pengerusi Jemaah Pengarah, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Saipolbahari Suib.

Tambah Ismail Sabri, ketika ini tahap sara diri negara bagi komoditi beras pada sekitar 70 peratus manakala bagi buah-buahan, sayur-sayuran, daging lembu dan susu masing-masing berada pada kadar 67, 60, 42 dan lima peratus sahaja.

"Malah majoriti daripada peratusan tersebut disumbangkan oleh sektor swasta sekaligus menunjukkan bahawa PPK perlu lebih memberikan tumpuan dari segi aspek agromakanan," katanya.

Pada majlis tersebut, Ismail Sabri turut menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Nafas dengan Koperasi Pertanian Kebangsaan Jepun (Zen-Noh), Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

MoU itu antara lain bertujuan bagi menjalankan kerjasama dalam pemindahan teknologi pertanian dari Jepun ke Malaysia khususnya dalam pengeluaran benih, memperkasa pelaksanaan insentif padi dan pembangunan modal insan ke arah pembentukan Kolej Nafas yang berorientasikan pertanian dan pengurusan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment