KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Kerajaan tidak bercadang mengurangkan cukai eksais sebagai mekanisme menurunkan harga kereta tempatan dan import di pasaran negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, pengurangan cukai eksais itu juga tidak menjamin penurunan harga kereta malah hanya akan merugikan negara sebanyak RM7 bilion.
"Harga kereta ditentukan oleh syarikat-syarikat pengeluar dan pemasang kenderaan berdasarkan faktor pasaran seperti harga komponen yang diimport atau diperolehi dari pasaran tempatan.
"Ini turut mengambil kira kadar tukaran wang asing, kos pengangkutan, insurans dan kadar faedah pinjaman.
"Oleh itu, penghapusan duti eksais akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai dianggarkan sebanyak RM7 bilion setahun dan membataskan keupayaan kerajaan dalam menyediakan keperluan asas kepada rakyat," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Chua Tee Yong (BN-Labis) yang ingin tahu bila kerajaan akan menurunkan kadar duti ke atas kereta-kereta yang diimport supaya harga kereta dapat diturunkan bagi menepati janji yang diberikan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13.
Menjawab soalan tambahan, Hamim berkata, kerajaan telah menggariskan beberapa langkah penting yang akan dilaksanakan secara berperingkat seperti yang digariskan dalam kajian semula Dasar Automotif Negara (DAN) supaya tidak memberi impak ketara ke atas industri automotif tempatan.
Katanya, kerajaan menerusi perbincangan dengan syarikat-syarikat pengeluar kenderaan tempatan dan beberapa syarikat lain telah mula menurunkan harga kereta melalui strategi pemasaran masing-masing.
"Antara program yang dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat adalah penurunan harga sesuatu kereta semasa pengenalan model baharu, penukaran operasi dari import sepenuhnya (CBU) kepada pemasangan tempatan (CKD)," katanya.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Hamim berkata, kerajaan sememangnya komited untuk menurunkan harga kereta seperti yang termaktub di dalam AkuJanji Barisan Nasional pada PRU-13.
Katanya, kerajaan akan menurunkan harga kereta kepada 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment