My Add

Saturday 6 July 2013

CUEPACS gesa segerakan bina rumah kos sederhana

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

SHAH ALAM, SABTU, 06 Julai, 2013: Kerajaan Pusat serta kerajaan-kerajaan negeri digesa menyegerakan pembinaan perumahan kos sederhana di bawah RM250,000 kepada golongan penjawat awam yang tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Gesaan itu dinyatakan sekali lagi oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman setelah mengambil kira bilangan penjawat awam yang tidak mampu memiliki kediaman sendiri masih lagi tinggi iaitu 45 peratus atau 600,000 daripada keseluruhan 1.5 juta orang.

Menurut Omar, selain menetapkan harga rumah di bawah RM250,000, pihaknya meminta Kerajaan Pusat dan negeri melaksanakan sendiri projek perumahan tersebut menerusi agensi sedia ada seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan diselia oleh Jabatan Perumahan Negara.

"Sekiranya pembinaan perumahan penjawat awam yang dicadangkan ini dilaksanakan oleh pemaju luar, kita khuatir kosnya tidak akan mencapai sasaran kita iaitu di bawah RM250,000.

"Jika kos rumah melebihi jumlah itu iaitu RM300,000 ke atas, ia masih di luar kemampuan kewangan penjawat awam yang berpendapatan di bawah RM7,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden Kongres, Datuk Jemale Paiman. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment